Dengar playlist penuh di sini
.
Penemuan mayat seorang remaja di tepi kawasan semak berhampiran Jalan Harvard, Gurun, Sungai Petani pada 8 Oktober lalu mengejutkan orang ramai.
Mangsa, Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam, 19, ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa dengan kesan kecederaan. Lebih mengejutkan, seramai 14 individu berusia antara 16 hingga 24 tahun kemudian dihadapkan ke Mahkamah Majistret Gurun atas pertuduhan membunuh remaja berkenaan.
Mangsa dipercayai dituduh mencuri motosikal oleh kumpulan terbabit. Tanpa membuat laporan polis, mereka didakwa mengambil tindakan sendiri dengan mencari dan membawa mangsa ke sebuah rumah di Gurun pada 5 Oktober lalu.
Mangsa dipercayai dikurung selama dua hari, dipukul dan diseksa sebelum meninggal dunia. Mayatnya kemudian dibuang di tepi jalan dan ditemukan orang awam pada pagi 8 Oktober. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian konsisten dengan kecederaan pelbagai akibat hentakan objek tumpul.
Kalau benar ada kes kecurian, bukankah sudah ada saluran undang-undang untuk menyelesaikannya?
Buat laporan polis. Serahkan bukti. Biar pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut undang-undang.
Tetapi apabila seseorang memilih untuk bertindak sendiri, keadaan boleh berubah menjadi sesuatu yang jauh lebih buruk. Apatah lagi apabila tindakan itu dilakukan secara berkumpulan, dengan emosi mengatasi pertimbangan dan tiada siapa mahu menghentikan keadaan daripada menjadi semakin ganas.
Kita boleh marah apabila barang kita hilang. Kita boleh menuntut keadilan apabila dianiaya. Tetapi sejak bila kemarahan memberi seseorang hak untuk menghukum orang lain sesuka hati?
Apabila bercakap tentang Mexico, ramai terbayang keganasan kartel, pembunuhan dan jenayah terancang. Keadaan di Malaysia tidak boleh disamakan begitu sahaja dengan Mexico tetapi perbandingan ini mengingatkan kita tentang bahaya apabila keganasan mula dianggap perkara biasa.
Kita tidak mahu sampai satu tahap apabila orang ramai takut untuk keluar rumah, ibu bapa risau melepaskan anak ke sekolah, atau pertelingkahan kecil boleh bertukar menjadi tragedi.
Lebih membimbangkan, kes ini turut melibatkan individu berusia belasan tahun. Pada usia yang masih muda, sepatutnya mereka sedang membina masa depan, bukannya berdepan pertuduhan jenayah yang begitu berat.
Di sinilah peranan keluarga, sekolah dan masyarakat menjadi penting. Anak-anak perlu dididik bahawa marah bukan alasan untuk mencederakan orang, manakala keberanian sebenar bukanlah apabila kita beramai-ramai menentang seorang individu.
Keberanian juga bermaksud berani menghentikan kawan sendiri apabila mereka mula melampaui batas.
Kita tidak boleh mengubah apa yang sudah berlaku kepada Muhammad Haikal. Namun, kita masih boleh mengambil iktibar daripada tragedi ini supaya kejadian seumpamanya tidak berulang.
Jangan tunggu sehingga lebih banyak nyawa melayang baru kita mahu bertanya di mana silapnya. Jangan tunggu sehingga anak sendiri terlibat baru kita mahu mengambil tahu tentang pergaulan dan tingkah lakunya.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.