Dengar playlist penuh di sini
.

Ramai ibu bapa mengimpikan anak yang tenang, mampu mengawal emosi dan tidak mudah mengamuk apabila berdepan kekecewaan. Namun tanpa sedar, ada beberapa tabiat ibu bapa yang sebenarnya menghalang anak daripada membina kemahiran mengawal diri.
Yang pertama, terlalu kerap menjerit.
“Berhenti!” “Jangan buat macam tu!” “Dah banyak kali mama cakap kan?!”
Kita mengulang arahan yang sama berkali-kali, malah dengan suara yang semakin kuat apabila anak tidak mendengar. Masalahnya, jeritan tidak mengajar kawalan diri. Sebaliknya, ia menambah tekanan dan kekecohan. Apabila orang dewasa hilang kawalan emosi, anak juga belajar untuk bertindak balas dengan cara yang sama.
Kedua, terlalu bergantung kepada ganjaran.
“Diam sayang please , mama bagi telefon okey.”
“Kalau adik behave, papa belikan coklat.”
Ganjaran bukanlah sesuatu yang salah sepenuhnya. Namun jika setiap tingkah laku baik perlu dibayar dengan hadiah atau masa skrin, anak hanya belajar untuk berkelakuan baik demi ganjaran. Mereka tidak benar-benar belajar mengawal dorongan, menunggu giliran atau mengurus kekecewaan secara dalaman.
Ketiga, sentiasa mengalah selepas anak mengamuk.
Apabila anak menangis, menjerit atau meragam, ramai ibu bapa terus memujuk dan akhirnya mengikut kehendak mereka semata-mata untuk meredakan keadaan. Niatnya baik tetapi kesannya boleh menjadi sebaliknya.
Anak mungkin mula memahami bahawa ledakan emosi adalah cara paling berkesan untuk mendapatkan apa yang diinginkan. Keselesaan tanpa batasan dan struktur yang jelas boleh menimbulkan kekeliruan tentang tingkah laku yang boleh diterima.
Jika anak memukul, membaling barang, mencederakan orang lain atau hilang kawalan kerana perkara kecil, jangan terus melabel mereka sebagai nakal, panas baran atau memang perangai dia macam tu.
Selalunya, itu bukan masalah personaliti. Ia adalah petunjuk bahawa mereka masih belum mempelajari kemahiran mengawal emosi dan tingkah laku dengan baik.
Kawalan diri bukan sesuatu yang lahir secara semula jadi. Ia perlu diajar, dicontohi dan dilatih secara konsisten. Dan semuanya bermula apabila ibu bapa sendiri menunjukkan ketenangan, ketegasan dan kesabaran dalam mendidik anak setiap hari. Insya-Allah……
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.