Dengar playlist penuh di sini
.

Dalam rumah tangga, perubahan sikap yang kecil kadang-kadang membawa maksud yang besar. Ada masanya seorang isteri tidak lagi marah, tidak lagi merajuk malah tidak lagi mempersoalkan apa-apa.
Dari luar, keadaan nampak tenang. Tiada pertengkaran, tiada suara tinggi.
Namun kadang-kadang, ketenangan itu bukan tanda semuanya baik. Ia mungkin petanda hati seorang isteri sudah mula menjauh sedikit demi sedikit.
Tawar hati biasanya tidak berlaku secara tiba-tiba. Ia datang perlahan-lahan, selepas banyak perkara dipendam dan banyak harapan yang tidak kesampaian.
Berikut beberapa tanda yang mungkin menunjukkan seorang isteri sedang melalui fasa tersebut.
1. Dia semakin kurang bercakap
Dulu dia suka berkongsi cerita. Hal kerja, cerita anak-anak, perkara kecil yang berlaku sepanjang hari.
Sekarang perbualan jadi pendek. Jawapan sekadar yang perlu sahaja.
Bukan kerana dia sudah tiada cerita tetapi mungkin kerana dia pernah cuba berkongsi… dan merasakan dirinya tidak benar-benar didengari.
Kadang-kadang diam seorang wanita bukan tanda dia tiada perasaa tetapi tanda dia sedang belajar untuk tidak berharap terlalu banyak.
2. Dia tidak lagi suka bergaduh
Ramai orang menyangka apabila isteri tidak lagi marah atau membebel, itu bermakna hubungan semakin baik.
Hakikatnya tidak selalu begitu.
Marah kadang-kadang lahir kerana masih ada rasa peduli. Masih ada keinginan untuk memperbaiki sesuatu.
Tetapi apabila seorang isteri memilih untuk diam dan tidak lagi bersuara, itu mungkin kerana dia sudah terlalu letih berjuang seorang diri.
Diam itu kadang-kadang lebih berat daripada pertengkaran.
3. Keintiman terasa berbeza
Hubungan fizikal juga boleh berubah.
Jika dulu dia suka memeluk atau mencari perhatian, kini semuanya terasa lebih hambar.
Bukan kerana dia tidak perlukan kasih sayang tetapi mungkin kerana hatinya masih menyimpan luka yang belum sembuh.
Keintiman sebenar sebenarnya bermula dari rasa dihargai bukan sekadar sentuhan.
4. Hidupnya lebih tertumpu pada diri dan anak
Dia masih menjalankan tanggungjawab seperti biasa.
Rumah tetap diurus, anak-anak tetap dijaga, pekerjaan tetap dilakukan.
Namun hubungan suami isteri terasa seperti sekadar berkongsi rumah.
Perhatian dan emosi yang dulu diberi kepada pasangan kini lebih banyak tertumpu kepada diri sendiri dan anak-anak.
Dia masih ada di sisi tetapi hatinya mungkin sudah sedikit menjauh.
5. Dia tidak lagi mengharapkan apa-apa
Ini tanda yang sangat halus.
Dia tidak lagi meminta bantuan, tidak lagi berharap untuk dipujuk apabila terasa hati.
Jika dahulu dia mengharapkan perubahan, kini dia memilih untuk berdikari dari segi emosi.
Apabila seorang wanita berhenti berharap, itu biasanya kerana dia sedang melindungi dirinya daripada kecewa yang sama berulang kali.
6. Dia mula menyimpan segalanya sendiri
Inilah tanda yang paling membimbangkan.
Jika dulu setiap masalah cuba dibincangkan, kini dia lebih banyak memendam.
Bukan kerana dia tidak matang tetapi mungkin kerana setiap kali berbincang, akhirnya dia juga yang dipersalahkan.
Apabila seseorang terlalu kerap terluka, dia akan belajar untuk tidak membuka hatinya terlalu luas lagi.
Buat para suami
Isteri sebenarnya tidak memerlukan lelaki yang sempurna.
Dia hanya memerlukan seorang lelaki yang sudi belajar memahami dan menghargai perasaannya.
Dan buat para isteri pula, jika sedang berada dalam fasa tawar hati, jangan biarkan luka itu terus dipendam.
Cari cara yang sihat untuk meluahkan perasaan dan memulihkan diri.
Kerana seorang wanita yang hatinya sembuh tidak perlu menjerit untuk didengari.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.