Dengar playlist penuh di sini
.

Sebuah rombongan lawatan sekolah bertukar menjadi detik yang mendebarkan apabila lapan orang pelajar sekolah dari Houston terperangkap hampir empat jam di puncak roller coaster pada ketinggian 100 kaki dari aras tanah. Insiden mencemaskan ini berlaku di Taman Tema Pleasure Pier yang terletak di Galveston, Texas, Amerika Syarikat.
Kejadian yang berlaku pada waktu petang tersebut melibatkan permainan roller coaster popular, Iron Shark. Ketika gerabak dinaikkan menuju ke puncak menara, landasan mekanikal tersebut tiba-tiba mengalami gangguan teknikal lalu berhenti mengejut secara automatik. Impak daripada pemberhentian itu menyebabkan kesemua mangsa tersangkut dalam keadaan tubuh menghadap lurus ke langit, tepat sebelum fasa penurunan menegak bermula.
Pihak pengurusan Pleasure Pier segera menghubungi Jabatan Bomba Galveston sejurus selepas menyedari tren tersebut tidak lagi dapat digerakkan. Pasukan penyelamat terpaksa berhadapan dengan situasi berisiko tinggi memandangkan kedudukan tren yang tinggi serta cuaca yang terik.
Bagi memulakan misi, anggota bomba menggunakan sebuah lori tangga mekanikal (tower truck) yang dinaikkan sehingga ke ketinggian maksimum 105 kaki untuk mencapai zon mangsa terperangkap. Operasi menyelamat terpaksa dijalankan secara perlahan, berhati-hati dan sistematik bagi memastikan tiada sebarang implikasi buruk berlaku.
Setiap pelajar dipasangkan dengan tali pinggang keselamatan (harness) khas terlebih dahulu sebelum dikeluarkan dari tempat duduk mereka secara bergilir-gilir. Anggota penyelamat mengambil masa sekitar 20 minit untuk menurunkan setiap seorang mangsa dengan selamat menggunakan tangga mekanikal tersebut.
Ketua Pegawai Bomba Galveston, Mike Varela Jr., memuji kecekapan pasukannya yang terlatih untuk mengendalikan situasi kecemasan yang jarang berlaku itu. Beliau mengesahkan operasi selama empat jam itu berakhir dengan jayanya tanpa melibatkan sebarang kecederaan fizikal kepada semua mangsa yang terlibat.
“Mereka semua berada dalam keadaan yang baik, cuma agak terkejut dan trauma kerana terpaksa memanjat turun tangga yang tinggi dalam keadaan cuaca yang panas terik,” jelas Varela ketika sidang media dijalankan.
Kesemua pelajar tersebut turut diberikan rawatan awal di tapak kejadian bagi memeriksa tanda-tanda dehidrasi selepas terdedah di bawah sinaran matahari dalam tempoh yang lama. Sementara itu, pihak pengurusan daerah sekolah mengesahkan bahawa kebajikan pelajar telah diuruskan dan keluarga mangsa telah pun dimaklumkan tentang keselamatan anak-anak mereka.
Rentetan daripada insiden tersebut, pihak Pleasure Pier telah menutup operasi roller coaster Iron Shark buat sementara waktu bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan bersama pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kegagalan mekanikal itu sebelum ia dibuka semula kepada orang awam.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.