Dengar playlist penuh di sini
.
Walaupun COVID-19 banyak meninggalkan luka, trauma dan kehilangan, tak dapat dinafikan ada beberapa detik awal pandemik yang akan kekal sebagai kenangan kolektif rakyat Malaysia. Masa itu hidup terasa pelik, perlahan, dan sunyi, tapi penuh cerita.
Waktu PKP pertama,siapa sangka jalan raya boleh jadi lengang luar biasa. Lebuh raya yang biasanya sesak tiba-tiba kosong, seolah-olah dunia berhenti bernafas. Bandar besar terasa sunyi, tiada kereta lalu-lalang.
Lepastu setiap kali ada sidang media kerajaan, semua orang akan berhenti buat sesuatu. Pengumuman Perdana Menteri ditunggu di televisyen dan telefon bimbit, dengan harapan ada berita yang melegakan walaupun sering kali penuh dengan debaran.
Scan QR code MySejahtera dah jadi rutin harian. Masuk kedai runcit, kedai makan, surau, malah ada yang sampai di lif pun kena scan. Ada yang betul-betul patuh, ada juga yang sekadar angkat telefon tanda “dah scan”. Siapa buat macam tu, angkat tangan…
Face mask pula pernah jadi barang paling dicari. Rak kosong, harga naik, dan ramai mula buat mask kain sendiri. Sesuatu yang dulu nampak remeh tiba-tiba jadi keperluan hidup.
Kerja dari rumah pulak dah menjadi norma baru. Online meeting kat rumah dengan kamera tertutup, suara anak kecil atau bunyi periuk di dapur, line internet putus-putus, semua itu jadi pemandangan biasa yang akhirnya kita terima sampai sekarang.
Dan hiburan setiap malam, rakyat Malaysia menunjukkan sokongan kepada frontliners dengan cara tersendiri. Tepuk tangan dari balkoni atau tingkap rumah mungkin nampak kecil, tapi sarat dengan rasa terima kasih dan harapan. Ada yang seronok tengok frontliners berjoget di bawah pangsapuri kediaman. Ingat lagi tak?
Bukan tu je, ramai mula masak sendiri setiap hari, cuba resipi viral seperti dalgona coffee, roti lockdown, dan pelbagai eksperimen yang kadang berjaya, kadang hangus.
Paling menyayat hati, raya ketika COVID adalah antara raya paling sunyi. Tak boleh balik kampung, tak boleh bersalaman, dan pelukan diganti dengan panggilan video. Sedih, tapi membuatkan kita lebih menghargai keluarga.
Dalam kekangan SOP waktu tu, rakyat Malaysia belajar untuk lebih sabar dan bertolak ansur. Kita belajar menunggu, mengalah, dan memahami keadaan orang lain.
Paling ketara, masa terasa bergerak lebih perlahan. Hidup tidak terlalu dikejar jadual. Ramai yang akhirnya sempat berfikir, merenung diri, dan menilai semula apa yang benar-benar penting. Hmm betul-betul kenangan kan, siapa sangka dah hampir 5 tahun dah semua tu berlalu.
COVID-19 bukan kenangan yang kita mahu ulang, tetapi ia adalah bab penting dalam hidup ramai orang. Kenangan pahit ini mengajar kita tentang empati, kesabaran, dan betapa rapuhnya rutin yang kita anggap biasa. Suatu hari nanti, mungkin kita akan tersenyum pahit bila teringat yang dunia pernah berhenti sekejap, dan kita belajar untuk bernafas dengan lebih perlahan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.