Dengar playlist penuh di sini
.
Pernah tengok tak, ada keluarga yang bila dengar khabar kematian, air mata belum kering, soalan tentang harta dah keluar.
“Rumah ni siapa punya?”
“Tanah ni bahagi sama rata ya.”
“Duit simpanan arwah ada berapa?”
Bila ibu atau ayah meninggal dunia, sepatutnya saat itu dipenuhi doa, sokongan dan empati. Tapi dalam sesetengah keluarga, suasana bertukar sunyi yang menakutkan. Air mata belum kering, tapi perbincangan tentang harta sudah bermula. Nenek, atok, pak cik, mak cik dan saudara mara mula bertanya bahagian masing-masing. Siapa dapat rumah, siapa dapat tanah, siapa dapat duit simpanan. Semua mahu adil, semua mahu sama rata.
Masalahnya, bila tiba bab hutang arwah, tak pulak nak pikul sama rata. Hutang bank, hutang perubatan, hutang peribadi, semuanya jatuh ke bahu anak-anak. Anak yang masih muda, baru nak kenal dunia, baru nak bina hidup sendiri. Mereka bukan sahaja kehilangan orang tua, tapi terpaksa memikul tanggungjawab yang terlalu berat untuk usia dan keadaan mereka.
Konsep “sama rata” selalu muncul bila bab duit dibincangkan.
Tapi bila bab tanggungjawab, semua senyap.
Tak ada pula yang cakap, “Hutang ni kita sama-sama tolong selesaikan.”
Tak ada yang tawar hati, “Ambil bahagian kami sikit je, bagi anak-anak ni bernafas.”
Di mana perikemanusiaan ?
Di mana empati bila anak yatim dijadikan pengurus masalah, bukankah mereka sebenarnya insan yang perlu dipeluk dan dibantu?
Lebih menyedihkan, ada yang berselindung di sebalik ayat agama dan hukum, tapi lupa satu perkara asas ihsan. Hukum faraid memang jelas, tapi akhlak dan timbang rasa itu pilihan,dan di situlah ramai yang gagal.
Keluarga sepatutnya jadi tempat berlindung, bukan medan perebutan.
Sepatutnya jadi bahu untuk bersandar, bukan tangan yang menarik hak tanpa peduli beban.
Jadi bila ditanya, wujud ke keluarga macam ni?
Jawapannya: ya, wujud.
Dan selalunya, luka yang mereka tinggalkan lebih dalam daripada hutang yang perlu dibayar.
Untuk yang terlalu gilakan harta, ingat satu perkara! Hak di atas kertas mungkin milik anda, tapi kezaliman yang dibuat atas anak yatim dan keluarga yang sedang berduka akan dituntut juga,kalau bukan di dunia, di akhirat. Jangan jadikan kematian orang sebagai peluang mengenyangkan diri sendiri, kerana harta yang direbut dengan tamak hanya akan meninggalkan aib, bukan kehormatan. Kalau hari ini anda mampu menekan anak-anak yang lemah, ingatlah satu masa nanti anda sendiri akan berada di tempat yang sama,dan ketika itu, anda juga mengharap manusia yang punya empati, bukan yang bermata duitan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.