Komuniti Digital Dewasa
00%

Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Promosi Menari Ikut Trend Wajib Walaupun Bertudung Sopan?

Baju kurung tidak perlukan tarian untuk nampak cantik. Hijab tidak perlukan gerakan berlebihan untuk nampak menarik.

Baju tradisional kita bukan sekadar pakaian. Baju kurung, baju Melayu dan hijab membawa identiti, budaya, dan nilai sopan santun yang telah lama menjadi kebanggaan. Sebab itu apabila melihat wanita bertudung mempromosikan busana tradisional, secara semula jadi kita meletakkan rasa hormat dan jangkaan tinggi, mereka mestilah anggun, sopan, elegan dan beradab.

Namun kebelakangan ini, promosi baju tradisional semakin kerap dibuat melalui tarian mengikut trend media sosial. Menari, melompat, berlenggok , walaupun berbaju kurung dan berhijab. Lebih menghairankan, yang melakukannya bukan sahaja gadis muda, tetapi wanita milenial, malah mak budak.

Masalahnya bukan pada usia, dan bukan juga semata-mata pada tarian. Masalahnya ialah ketidaksepadanan imej. Apabila busana yang sepatutnya melambangkan kesopanan dipromosikan dengan gaya yang terlalu santai, terlalu “viral-oriented”, keanggunan itu hilang serta-merta. Apa yang tinggal hanyalah bunyi muzik, gerakan ikut trend, dan usaha mengejar perhatian.

Wanita bertudung sering dilihat sebagai simbol kesederhanaan dan simbol matang. Apabila seseorang yang kita hormati kerana penampilan sopannya tiba-tiba menari mengikut trend, rasa hormat itu goyah. Bukan kerana menari itu haram, tetapi kerana ia tidak selari dengan mesej yang sepatutnya dibawa oleh busana dan imej tersebut.

Baju kurung tidak perlukan tarian untuk nampak cantik. Hijab tidak perlukan gerakan berlebihan untuk nampak menarik. Keindahan pakaian tradisional terletak pada potongannya, kainnya, cara ia dipakai, dan sikap pemakainya. Sopan itu sudah cukup kuat sebagai nilai jualan.

Lebih menyedihkan apabila yang terlibat ialah golongan wanita dewasa, yang sepatutnya menjadi contoh. Apabila ibu-ibu menari demi konten, mesej yang sampai kepada generasi muda ialah, untuk menjual, kita perlu ikut semua trend, walaupun ia mengorbankan maruah dan imej diri. Sedangkan sebenarnya, profesionalisme dan kematangan jauh lebih classy.

Tidak salah untuk kreatif dalam pemasaran. Tetapi kreatif tidak bermaksud meniru tanpa menilai. Kita boleh menjual baju tradisional dengan cara yang lebih matang, melalui gaya berjalan yang sopan, visual yang kemas, bahasa badan yang terkawal, dan penceritaan yang bermakna. Semua ini lebih selari dengan jiwa pakaian itu sendiri.

Apabila wanita bertudung berpakaian kemas dan sopan, promosi tu dah strong dah. Keanggunan yang konsisten lebih meninggalkan kesan daripada konten yang viral tetapi cepat dilupakan.

Busana tradisional kita telah lama dihormati kerana nilai yang dibawanya. Maka, pemakainya juga wajar menjaga nilai itu. Bukan semua trend viral perlu diikut, biar budak-budak jelah buat, lambat laun dorang pun akan sampai fasa matang.

Kerana bila sopan itu hilang, baju mungkin masih cantik ,tetapi maknanya sudah berkurang dan rasa hormat pun berkurang.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.