Dengar playlist penuh di sini
.
Isu kejiranan sepatutnya tentang toleransi, saling menjaga dan hormat-menghormati. Tetapi apabila kebersihan rumah sendiri terganggu setiap hari kerana tahi dan kencing kucing jiran, kesabaran manusia ada hadnya. Lebih-lebih lagi apabila masalah itu berlaku berulang kali, tanpa sebarang usaha daripada pemilik kucing untuk bertanggungjawab.
Ada jiran yang memelihara kucing, tetapi kucing dilepaskan sesuka hati. Hari-hari berak di depan rumah orang lain. Kencing di alas kaki, di pasu bunga, di laluan masuk rumah. Bau hancing menusuk hidung. Setiap hari penghuni rumah terpaksa menyiram, membasuh, dan membersihkan kotoran yang bukan berpunca daripada mereka. Ini bukan kejadian sekali dua. Ini rutin harian yang memenatkan emosi.
Ramai orang memilih untuk tidak membela haiwan bukan kerana benci, tetapi kerana sedar tanggungjawabnya besar. Ada yang mementingkan kebersihan. Ada yang risau soal kesucian untuk solat dan ibadah. Ada yang tidak mahu stres dengan bau, bulu, najis, dan kerja pembersihan dan ada yang alergik atas faktor kesihatan. Pilihan ini sepatutnya dihormati. Tetapi apabila jiran membela haiwan dan melepaskan beban itu kepada orang lain, ini dah lebih.
Dalam Islam, kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Menjaga kebersihan bukan sekadar dalam rumah sendiri, tetapi juga memastikan persekitaran orang lain tidak terganggu. Nabi SAW sendiri menekankan agar kita tidak menyakiti jiran, sama ada dengan perbuatan, kata-kata, atau apa jua yang membawa mudarat. Membiarkan najis haiwan mencemari rumah jiran adalah satu bentuk gangguan yang sangatttt jelas.
Islam juga menuntut ihsan terhadap haiwan. Memelihara kucing bukan sekadar memberi makan, tetapi memastikan kebajikan dan kawalannya terjaga. Membiarkan kucing berkeliaran tanpa kawalan sehingga mengotorkan rumah orang lain bukan ihsan, itu kealpaan. Tanggungjawab pemilik tidak terhenti pada kasih sayang, tetapi juga disiplin.
Isu ini bukan sahaja soal agama, tetapi juga soal undang-undang. Di Malaysia, pihak berkuasa tempatan mempunyai kuasa untuk mengenakan denda terhadap pemilik haiwan yang menyebabkan gangguan, pencemaran, dan masalah kesihatan awam. Najis haiwan yang dibiarkan bersepah boleh dianggap sebagai pencemaran dan kacau ganggu kejiranan. Ini bukan perkara remeh, dan bukan sekadar isu “sabar jelah, kucing je pon”.
Apa yang menyedihkan, ada pemilik kucing yang apabila ditegur, bersikap defensif. Kononnya jiran tidak penyayang, tidak faham haiwan, atau terlalu cerewet. Sedangkan yang dituntut hanyalah tanggungjawab asas,iaitu jaga kucing sendiri, jangan susahkan orang lain.Tak nak tanggungjawab, jangan bela, ini tidak, dia boleh lepaskan beban tu kat orang lain pulak. Tanggunglahh kat akhirat nanti!
Kejiranan yang harmoni lahir daripada empati. Jika kita tidak sanggup membersihkan tahi kucing orang lain setiap hari, jangan letakkan jiran kita dalam situasi itu jugak. Memelihara haiwan adalah pilihan peribadi, tetapi kesannya tidak boleh dipaksa ditanggung bersama dengan jiran lain.
Hormati jiran. Jaga kebersihan. Pelihara haiwan dengan amanah. Kerana bila najis kucing menjadi punca pergaduhan, yang rosak bukan sahaja halaman rumah, tetapi hubungan sesama manusia.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.