Dengar playlist penuh di sini
.
Bagi semua ibu, saat paling diimpikan selepas melahirkan anak adalah bila bayi dapat menyusu dengan baik. Namun realitinya tidak semua perjalanan penyusuan itu indah. Ada ibu yang berdepan sakit puting melampau, bayi kerap menangis, berat tak naik dan susu ibu terasa ‘tak cukup’. Selalunya ibu menyalahkan diri sendiri. Sedangkan puncanya mungkin sesuatu yang masih asing bagi kebanyakan orang iaitu tongue tie.

Tongue tie atau ankyloglossia ialah keadaan tali bawah lidah bayi yang terlalu pendek, tebal atau ketat. Ini menyebabkan pergerakan lidah menjadi terhad. Walaupun nampak kecil, kesannya besar terutamanya kepada penyusuan bayi baru lahir.
Untuk menyusu dengan berkesan bayi perlu menggunakan lidah supaya dapat mengeluarkan susu dengan betul. Jika lidah tidak boleh bergerak bebas, hisapan menjadi lemah dan tidak efisien. Akibatnya, bayi cepat penat, kerap menyusu tetapi masih lapar. Ibu pula mengalami sakit puting, luka atau payudara kerap bengkak kerana susu tidak dikeluarkan sepenuhnya.
Apa yang menyedihkan, ramai ibu diberitahu bahawa masalah ini normal, “biasalah bayi baru lahir”, atau disebabkan teknik penyusuan yang salah semata-mata. Tongue tie, kita sering terlepas pandang kerana ia tidak selalu jelas dilihat dengan mata kasar. Ada bayi yang lidahnya nampak normal tetapi pergerakannya terhad.
Lebih merumitkan keadaan, tongue tie bukan sahaja menjejaskan penyusuan. Jika tidak dikesan awal ia boleh memberi kesan jangka panjang seperti masalah pertuturan, kesukaran makan makanan pejal dan masalah kebersihan mulut apabila anak membesar.
Perkara ini masih agak asing dalam masyarakat kita. Tidak semua petugas kesihatan atau ibu bapa didedahkan dengan maklumat tentang tongue tie. Akibatnya, ramai ibu berhenti menyusu terlalu awal bukan kerana mereka gagal tetapi kerana puncanya tidak dikenal pasti.
Penting untuk ibu bapa peka dengan tanda-tanda awal. Antaranya bayi sukar melekap, bunyi ‘klik’ semasa menyusu, penyusuan mengambil masa terlalu lama, berat bayi lambat naik dan ibu mengalami kesakitan berterusan ketika menyusu. Jika tanda-tanda ini wujud, pemeriksaan lanjut oleh profesional yang terlatih sangat disarankan.
Rawatan tongue tie biasanya ringkas terutama jika dilakukan awal. Prosedur kecil ini boleh memberi perubahan besar kepada perjalanan penyusuan dan kesejahteraan ibu serta bayi.
Tongue tie bukan salah ibu. Ia bukan kegagalan penyusuan dan bukan alasan untuk berputus asa. Dengan kesedaran, sokongan dan intervensi yang betul, ramai ibu dapat meneruskan penyusuan dengan lebih yakin dan selesa.
Kerana setiap ibu berhak menyusu tanpa sakit dan setiap bayi berhak mendapat permulaan yang terbaik dalam hidup.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.