Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

‘Taska Percuma’: Keistimewaan Ibu Bapa, Bebanan Nenek

Nenek yang menjaga cucu pasti menghadapi dilema antara sayang kepada keluarga dan hak untuk berehat...

Dulu, hari tua nenek sepatutnya diisi dengan rehat, bersanta, dan menikmati hasil perjuangan sepanjang hidup. Namun zaman sekarang ramai nenek terpaksa kembali ke fasa yang dulu mereka tinggalkan. Apa lagi kalau bukan menjaga anak-anak atau lebih tepat, cucu sendiri. Fenomena ini bukan sahaja menimbulkan keletihan fizikal tetapi juga cabaran emosi yang jarang dibincangkan.

Kos sara hidup naik, tanggungjawa turun ke bahu nenek

Trend ini wujud kerana pelbagai faktor. Salah satunya ialah kos hidup yang semakin tinggi. Ramai pasangan muda bekerja sepenuh masa, kadang-kadang lebih daripada satu pekerjaan dan terpaksa menghantar anak ke taska atau pengasuh swasta yang mahal. Dalam keadaan ini nenek menjadi penyelamat tanpa disedari dengan menjaga cucu tanpa bayaran, sambil memastikan anak-anak mereka boleh bekerja dalam keadaan tenang.

Bukan niat menyusahkan tapi realitinya meletihkan

Walaupun niat ibu bapa menyerahkan penjagaan cucu atas dasar kepercayaan dan keperluan, bagi nenek situasi ini bukanlah semudah yang difikirkan. Menjaga cucu memerlukan tenaga yang banyak. Dari menyiapkan makanan, teman bermain, menenangkan tangisan, hingga tidur lewat malam jika bayi menangis. Bagi nenek yang sepatutnya menikmati hari tua, ini boleh menjadi beban fizikal dan mental. Rasa letih bertambah apabila tanggungjawab ini berlaku setiap hari tanpa penghargaan yang jelas.

Dari sayang jadi penat, nenek dalam dilema

Selain itu, ada juga tekanan emosi dan psikologi. Nenek yang menjaga cucu sering menghadapi dilema antara sayang kepada keluarga dan hak untuk berehat. Ada yang menanggung sakit badan, tekanan darah tinggi atau insomnia kerana rutin yang padat. Ada juga yang rasa tersisih apabila anak-anak muda tidak menghargai pengorbanan mereka sepenuhnya.

Bila jaga cucu jadi ladang pahala

Di sisi lain, ada yang melihat situasi ini sebagai pahala dan kasih sayang. Menjadi nenek yang aktif menjaga cucu juga memberikan rasa dihargai dan berguna. Hubungan antara nenek dan cucu boleh menjadi sangat erat. Cucu belajar menghargai orang tua, nenek pula merasa diperlukan. Namun keseimbangan amat penting. Jika nenek terus menanggung beban tanpa rehat akibatnya bukan sahaja kesihatan merosot tetapi hubungan kekeluargaan juga boleh terjejas.

Konflik cara dulu cara sekarang

Cabaran lain ialah perbezaan gaya didikan. Nenek yang membesar dengan cara tertentu kadang-kadang berbeza pendekatan dengan ibu bapa moden. Konflik kecil seperti cara memberi makan, tidur atau disiplin boleh menimbulkan tekanan tambahan. Nenek yang mahu “ikut cara lama” terpaksa berkompromi sementara ibu bapa pula berharap nenek tidak terlalu campur tangan.

Faham keadaan memaksa tapi nenek juga berhak nikmati hari tua

Bila diamati semula, fenomena nenek menjaga cucu menunjukkan realiti keluarga moden. Kasih sayang itu wujud tetapi pengorbanan besar dan susah payah seorang nenek juga jelas terbukti. Nenek bukan mesin dan hak mereka untuk menikmati hari tua perlu dihormati. Ibu bapa perlu sedar bahawa menghargai pengorbanan nenek bukan hanya soal ucapan terima kasih tetapi juga memberi ruang, rehat, dan bantuan sebenar. Kasih sayang keluarga bererti saling menjaga bukan hanya menuntut pengorbanan sebelah pihak.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.