Komuniti Digital Dewasa
00%

Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengapasaja_master

Alam Bunian: Misteri Hilang Di Hutan Berhari-hari Lamanya

Ada cerita orang tersalah masuk 'kampung', nampak rumah cantik, orang berpakaian kemas, layanan baik tetapi bila azan dilaungkan, semuanya lenyap sekelip mata.

Hutan bagi sesetengah orang hanyalah pokok, denai, dan sunyi. Tapi bagi yang pernah melaluinya, ada masa hutan terasa… ‘hidup’. Terlalu sunyi. Terlalu tersusun. Dan kadang-kadang, terlalu ‘ramai’ walaupun mata nampak kosong.

Cerita tentang bunian selalunya bermula dengan ayat yang sama..
“Aku rasa aku hilang sekejap je…”

Tapi bila diselamatkan, rupanya sudah dua hari, tiga hari, malah ada yang seminggu. Lebih menyeramkan, mangsa sering ditemui tidak jauh dari lokasi asal seolah-olah mereka berada di situ sepanjang masa, cuma tidak kelihatan.

Dalam kepercayaan orang Melayu, bunian dikatakan mendiami alam yang bertindih dengan alam manusia. Mereka bukan datang dari jauh. Mereka sudah ada, cuma dipisahkan oleh hijab yang tak nampak. Sebab itu ada cerita orang tersalah masuk ‘kampung’, nampak rumah cantik, orang berpakaian kemas, layanan baik tetapi bila azan dilaungkan atau doa dibaca, semuanya lenyap sekelip mata. Tinggal hutan, pokok besar dan kesunyian yang mencengkam.

Kes orang hilang di hutan sering dikaitkan dengan bunian kerana ada pola yang berulang. Mangsa mendengar suara memanggil, nampak laluan yang terasa betul atau ikut seseorang yang wajahnya samar. Langkah terasa ringan, badan tidak letih. Masa seolah-olah berhenti. Bila sedar, dunia sudah berubah.

Ada juga cerita mangsa ‘ditahan’ bukan dengan paksaan, tapi dengan rasa rela hati. Diberi makan, minum, dilayan baik. Sebab itu ada yang tak rasa takut langsung. Cuma bila kembali ke alam manusia, badan jadi lemah, demam berhari-hari dan trauma yang susah dijelaskan.

Namun, dari sudut agama, apa pun nama yang digunakan, bunian, orang halus atau makhluk ghaib..Islam mengingatkan bahawa makhluk seperti jin memang wujud. Yang bahaya bukan kewujudan mereka, tetapi kepercayaan melampau yang boleh memesongkan akidah. Bukan semua yang ghaib itu musuh, tapi bukan semua yang kelihatan baik itu selamat.

Yang lebih seram, ada orang yang tidak hilang sepenuhnya… tapi berubah selepas kejadian. Pendiam, suka termenung, takut hutan atau mimpi yang sama berulang kali seperti jalan sempit, suara memanggil dan rasa nak berpatah balik tapi kaki tak bergerak.

Adakah semua ini benar? Atau sekadar permainan minda ketika panik dan sesat?

Mungkin jawapannya berada di tengah-tengah. Hutan memang berbahaya. Psikologi manusia boleh memperdaya deria. Tapi tidak semua pengalaman boleh dijelaskan dengan logik semata-mata.

Sebab itu orang tua selalu pesan bila masuk hutan jangan sombong. Jaga adab, jaga tutur kata, jangan cabar perkara yang kita tak nampak. Bukan kerana takut tetapi kerana kita tak bersendirian.

Dan kalau suatu hari nanti anda rasa hutan itu terlalu senyap…
atau jalan yang andaikut terasa terlalu betul…

Berhenti.
Pandang sekeliling.
Dan jangan ikut suara yang memanggil kalau anda tak pasti dari mana ia datang.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.