Komuniti Digital Dewasa
00%

Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Nikmat Korek Telinga: Lega Sementara Yang Mengundang Bahaya

Rasa gatal selalunya tanda telinga terlalu kering atau kulitnya teriritasi dan mengorek hanya memburukkan keadaan.

Korek telinga…
Bunyi macam benda kecil tapi hampir semua orang pernah buat. Ada yang guna putik kapas, ada yang guna besi pengorek malah ada juga yang guna penutup pen atau hujung tisu yang dipintal. Bila korek, rasa lega. Bunyi pun macam lebih jelas. Tapi betul ke tabiat ni baik untuk telinga kita?

Kotoran dalam telinga boleh keluar secara semula jadi

Hakikatnya, telinga manusia dicipta dengan sistem pembersihan semula jadi. Kotoran telinga atau “earwax” bukan benda kotor semata-mata. Ia berfungsi melindungi saluran telinga daripada habuk, bakteria dan serangga kecil. Pergerakan rahang ketika bercakap dan mengunyah sebenarnya membantu menolak kotoran telinga keluar secara perlahan.

Masalah bermula bila kita terlalu rajin mengorek.

Apabila putik kapas dimasukkan ke dalam telinga, kotoran selalunya tidak keluar sebaliknya ditolak lebih ke dalam. Lama-kelamaan, ia boleh menjadi keras dan menyumbat saluran telinga. Inilah punca telinga rasa penuh, berdengung atau pendengaran jadi kurang jelas.

Lebih membimbangkan, mengorek telinga terlalu dalam boleh mencederakan kulit halus dalam saluran telinga. Luka kecil mungkin nampak remeh tapi ia boleh menjadi pintu masuk jangkitan. Dalam kes lebih serius, gegendang telinga boleh pecah menyebabkan sakit teruk, pening dan masalah pendengaran jangka panjang.

Bila telinga rasa gatal..

Ada juga yang suka korek telinga kerana rasa gatal. Sebenarnya, rasa gatal itu selalunya tanda telinga terlalu kering atau kulitnya teriritasi dan mengorek hanya memburukkan keadaan. Lagi dikorek, lagi gatal. Akhirnya jadi tabiat yang susah ditinggalkan.

Jadi, macam mana cara yang betul untuk jaga kebersihan telinga?

Pertama, cukup sekadar membersihkan bahagian luar telinga sahaja. Lap perlahan dengan tuala bersih selepas mandi. Jangan masukkan apa-apa objek ke dalam saluran telinga walaupun nampak kecil dan selamat.

Kedua, kalau rasa telinga tersumbat atau pendengaran berkurang, elakkan untuk selesaikan sendiri. Titisan khas atau rawatan oleh pegawai kesihatan lebih selamat. Mereka ada peralatan dan teknik yang betul untuk membersihkan telinga tanpa risiko kecederaan.

Ingat, telinga kita sepasang je

Paling penting, kita perlu ubah cara fikir. Telinga yang sihat bukan telinga yang sentiasa bersih licin tapi telinga yang berfungsi dengan baik. Rasa lega sekejap selepas mengorek tak berbaloi dengan risiko yang mungkin kita tanggung.

Kadang-kadang benda yang kita anggap rutin biasa itulah yang sebenarnya memudaratkan.
Kurangkan mengorek, lebihkan menjaga.
Telinga kita cuma sepasang jadi jagalah sebelum terlambat.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.