Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengapasaja_master

Sekali Nampak Lipas Terbang, Memang Auto Dia Kena “**&%^$#@”

Kebersihan rumah, pengurusan sampah dan menutup laluan kecil seperti longkang boleh membantu mengurangkan “kunjungan” mereka.

Kalau ada satu makhluk yang boleh menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau negeri, jawapannya mungkin lipas.

Tak kira rumah flat, apartment, teres atau banglo, hampir setiap rumah di Malaysia pernah ada pengalaman dengan serangga yang satu ini. Walaupun kecil, kehadiran lipas boleh buat satu rumah kecoh. Ada yang melompat atas sofa, ada yang terus ambil penyapu dan ada juga yang tiba-tiba jadi atlet pecut.

Menariknya, kalau diperhatikan betul-betul, kebanyakan rumah sebenarnya “didiami” oleh dua jenis lipas yang sangat berbeza perangai.

Spesies pertama: Lipas Sayap

Ini kategori paling dibenci ramai.

Ciri-ciri utamanya jelas. Badan agak besar, kaki berbulu dan ada satu senjata rahsia yang membuatkan semua orang panik. Dia boleh terbang!

Bukan terbang biasa-biasa. Kadang-kadang dia terbang tanpa arah, macam peluru sesat. Tiba-tiba dari lantai, terus meluncur ke arah dinding… atau lebih teruk, ke arah hidung manusia.

Bau dia pula memang satu hal. Kalau terpijak atau kena sembur racun, satu rumah boleh tahu ada “kejadian”.

Spesies ini juga terkenal sebagai penjajah tegar. Kawasan kegemaran mereka termasuk dapur, tandas, longkang dan kadang-kadang bilik tidur. Paling menyakitkan hati, lepas buat kemunculan dramatik, dia boleh berjalan santai macam “kapla” seolah-olah rumah itu memang milik dia.

Level lipas ini memang tak boleh bawa bincang.

Nampak saja, misi utama cuma satu iaitu hapuskan sebelum dia sempat terbang.

Spesies kedua: Lipas Belang

Yang ini pula kategori sedikit… “beradab”.

Masih lipas, masih berkaki berbulu dan masih boleh buat orang geli. Tetapi bezanya, lipas jenis ini biasanya tidak terbang.

Dia lebih suka berjalan perlahan-lahan di lantai atau di tepi dinding. Kalau terserempak dengan manusia, reaksi dia pun lain sikit. Macam terkejut, lepas itu cepat-cepat lari.

Kadang-kadang dia lalu depan kita pun gaya macam malu-malu. Buat hal sendiri, cari sisa makanan, kemudian hilang entah ke mana.

Jarang sekali lipas jenis ini buat serangan mengejut dari udara.

Sebab itu ada orang bergurau mengatakan lipas belang ini masih dalam kategori “boleh bawa bincang”. Maksudnya bukanlah kita benar-benar nak berbincang tapi sekurang-kurangnya dia tidak mencetuskan panik satu rumah seperti sepupunya yang bersayap tu.

Walau apa pun jenisnya, satu perkara tetap sama. Kebanyakan orang memang tak boleh “ngam” dengan lipas.

Bukan saja sebab rupa dan bau tapi juga kerana cara mereka muncul secara tiba-tiba. Tengah malam nak ambil air di dapur, tiba-tiba nampak satu bayang hitam melintas. Dalam beberapa saat saja, suasana rumah boleh berubah jadi operasi memburu.

Hakikatnya, lipas memang sukar dielakkan sepenuhnya terutamanya di kawasan tropika seperti Malaysia. Mereka tertarik kepada makanan, air dan tempat yang lembap.

Sebab itu kebersihan rumah, pengurusan sampah dan menutup laluan kecil seperti celah paip atau longkang boleh membantu mengurangkan “kunjungan” mereka.

Namun realitinya, walau sebersih mana rumah pun, kadang-kadang lipas tetap muncul juga.

Dan apabila itu berlaku, kebanyakan rakyat Malaysia sudah tahu satu perkara. Kalau yang datang itu jenis bersayap, bersedialah untuk satu adegan panik yang kecil…yang cukup kasi kecoh satu rumah!

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.