Dengar playlist penuh di sini
.

Bila sebut pasal nak balik kampung raya, memang macam-macam benda kita fikir. Baju raya dah siap ke belum, kuih cukup ke tak, duit raya dah tukar ke belum. Tapi dalam sibuk-sibuk tu, jangan lupa satu “ahli keluarga” yang bakal berkhidmat paling kuat musim raya nanti. Ya..kereta tu! Jangan bila nak gerak baru teringat, “Eh, lama juga tak servis ya?” Masa tu memang berpeluh walaupun enjin belum hidup.
Hakikatnya, servis kereta sebelum perjalanan jauh memang penting, lebih-lebih lagi waktu musim perayaan. Jalan sesak, cuaca panas, perjalanan pula berjam-jam. Kalau kereta dalam keadaan tak berapa sihat, mulalah dia buat perangai. Tengah elok bergerak, tiba-tiba suhu enjin naik. Baru lima minit keluar tol, aircond pula buat hal. Memang boleh hilang mood raya sebelum sempat dengar lagu balik kampung.
Antara perkara paling asas yang wajib diperiksa ialah minyak enjin. Minyak hitam ni ibarat “darah” kepada enjin. Kalau dah terlalu lama tak tukar, enjin akan bekerja lebih berat dan risiko rosak pun meningkat. Penapis minyak dan penapis udara pun elok diperiksa sekali. Benda-benda macam ni mungkin nampak kecil tapi kesannya besar. Jangan nanti kereta semput lebih teruk daripada tuan dia yang naik tangga rumah nenek.
Selain itu, sistem penyejukan enjin pun kena ambil serius. Radiator, air coolant dan kipas enjin perlu dipastikan berada dalam keadaan baik. Musim raya ni trafik memang terkenal dengan bakatnya membuatkan orang sabar diuji. Dalam kesesakan, enjin kereta bekerja tanpa banyak bergerak. Kalau sistem penyejukan bermasalah, memang mudah kereta overheat. Bila itu berlaku, bukan saja perjalanan tergendala, silap-silap raya pertama pun sibuk cari bengkel.
Brek pun jangan buat acuh tak acuh. Ini bukan hal kecil. Brek yang baik boleh elakkan perkara yang tak diingini. Pastikan pad brek, minyak brek dan keseluruhan sistem brek diperiksa. Kalau dah mula dengar bunyi pelik masa tekan brek, jangan buat-buat tak dengar. Itu bukan “sound effect” raya, itu tanda kereta minta perhatian.
Tayar pun sama penting. Periksa tekanan angin, keadaan bunga tayar dan tayar simpanan. Kadang-kadang orang rajin periksa tayar depan belakang, tapi tayar spare terus dilupakan macam bekas kuih raya yang tinggal habuk. Bila betul-betul perlu, barulah sedar angin pun tak ada. Alignment dan balancing juga bagus dibuat supaya pemanduan lebih stabil dan tak rasa semacam ketika memandu laju di lebuh raya.
Jangan lupa periksa bateri, lampu, wiper dan aircond. Bateri lemah boleh buat kereta tak hidup langsung, lampu yang tak berfungsi boleh bahayakan pemanduan waktu malam dan wiper yang rosak memang mengundang panik bila hujan turun tiba-tiba. Aircond pula, kalau rosak waktu perjalanan jauh dengan kereta penuh penumpang, itu bukan lagi perjalanan balik kampung. Itu ujian kesabaran tahap tinggi.
Akhir sekali, sediakan juga keperluan kecemasan seperti kabel jumper, kit pertolongan cemas, lampu suluh dan nombor bantuan kecemasan. Benda ni kita harap tak guna tapi lebih baik ada daripada kelam-kabut nanti.
Pendek kata, servis kereta sebelum balik kampung bukanlah membazir tapi langkah bijak. Kita bukan setakat nak sampai ke kampung, kita nak sampai dengan selamat, tenang dan masih boleh senyum bila turun kereta. Raya ni biar meriah dengan gelak ketawa keluarga bukan drama tepi highway.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.