Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Lepas Makan Terus Berus Gigi Bagus Ke? Sorry Anda Silap!

Jika kita terus memberus gigi ketika keadaan mulut masih berasid, tindakan itu boleh menyebabkan lapisan enamel lebih mudah terhakis.

Ramai orang ada satu tabiat yang nampak sangat bagus. Setiap kali lepas makan, terus capai berus gigi.

Baru habis makan, terus pergi sinki.
Kadang-kadang belum pun lima minit.

Niatnya memang baik. Nak jaga kebersihan mulut, elak makanan melekat pada gigi dan pastikan nafas sentiasa segar.

Tapi tahukah anda, ada beberapa keadaan di mana memberus gigi terus selepas makan sebenarnya tidak digalakkan?

Malah, dalam sesetengah situasi, ia boleh memberi kesan yang kurang baik kepada gigi.

Mulut Jadi Berasid Selepas Makan

Selepas kita makan, pH dalam mulut akan menurun. Ini bermakna persekitaran dalam mulut menjadi lebih berasid.

Apabila keadaan ini berlaku, lapisan paling luar gigi yang dipanggil enamel akan menjadi sedikit lebih lembut daripada biasa. Enamel inilah lapisan putih yang melindungi gigi kita.

Masalahnya, jika kita terus memberus gigi ketika keadaan mulut masih berasid, tindakan itu boleh menyebabkan lapisan enamel lebih mudah terhakis.

Lebih-lebih lagi kalau jenis yang memberus gigi dengan sangat kuat , sampai dah seruba berus jamban gayanya.

Jika lapisan enamel ini semakin menipis atau hilang, bahagian dalam gigi yang berwarna kekuningan akan mula kelihatan. Itulah sebabnya ada orang yang giginya nampak semakin kuning walaupun rajin memberus gigi.

Lapisan enamel yang terhakis menyebabkan gigi nampak kekuningan
Lepas Muntah Pun Tak Digalakkan Berus Gigi Terus

Situasi kedua yang ramai orang tak tahu ialah selepas muntah.

Bila kita muntah, asid dari perut akan naik ke dalam mulut. Ini menyebabkan keadaan dalam mulut menjadi sangat berasid.

Jika kita terus memberus gigi ketika itu, kesannya hampir sama seperti selepas makan. Enamel yang sedang lembut lebih mudah terhakis.

Jadi walaupun rasa tak selesa dan ingin cepat bersihkan mulut, memberus gigi terus selepas muntah bukanlah langkah terbaik.

Minum Kopi Pun Boleh Jadi Punca

Situasi ketiga yang agak biasa ialah selepas minum kopi.

Kopi juga boleh menyebabkan persekitaran dalam mulut menjadi lebih berasid. Sebab itu, memberus gigi sejurus selepas minum kopi juga tidak digalakkan.

Selain itu, kopi juga terkenal dengan kesan meninggalkan warna pada gigi. Jika enamel sudah lemah akibat berus terlalu awal, kesan kekuningan itu boleh menjadi lebih jelas.

Jadi Apa Yang Perlu Buat?

Sebenarnya penyelesaiannya sangat mudah.

Relax dan chill dulu. Bagi masa sedikit.

Tubuh kita mempunyai mekanisme semula jadi untuk menstabilkan keadaan dalam mulut. Air liur akan membantu meneutralkan asid dan mengembalikan pH mulut kepada keadaan normal.

Biasanya, tunggu sekitar 30 minit sebelum memberus gigi.

Selepas itu barulah lebih selamat untuk memberus tanpa risiko merosakkan enamel.

Tak Sabar Tunggu 30 Minit?

Kalau rasa tak selesa sangat atau malas menunggu, ada satu cara yang lebih selamat.

Kumur sahaja dengan air kosong.

Berkumur boleh membantu membersihkan sisa makanan dan mengurangkan asid dalam mulut tanpa merosakkan enamel.

Yang penting, jangan terus berus gigi ketika mulut masih dalam keadaan berasid.

Kadang-kadang benda yang kita sangka bagus sebenarnya ada cara yang lebih betul untuk dilakukan.

Dalam kes ini, bukan soal berus gigi atau tidak.
Tetapi bila masa yang sesuai untuk memberus gigi.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.