Komuniti Digital Dewasa
00%

Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Kurung Anak Dalam Gelap: Hukuman Atau Trauma Seumur Hidup?

Satu hari nanti, bila dia dah besar dia mungkin lupa apa kesalahan dia dulu tapi dia takkan lupa siapa yang pernah tinggalkan dia dalam gelap.
Portrait of a child looking up, seemingly contemplative, in a dimly lit environment.

Kalau hari ini masih ada ibu ayah yang hukum anak dengan kurung dalam bilik gelap, dengar ini baik-baik.

Yang kita kunci itu bukan sekadar badan dia…kita sedang kunci jiwa dia sekali.

Anak kecil yang kita tolak masuk ke dalam gelap itu, dia tak faham “ini hukuman”.
Dia faham satu benda saja, “orang yang aku paling percaya… sanggup tinggalkan aku dalam ketakutan.”

Dalam gelap, dia menangis. Panggil mak. Panggil ayah. Tapi tak ada siapa jawab. Dan saat itu, sesuatu dalam diri dia pecah.

Mungkin kita buka pintu selepas 5 minit. Mungkin kita rasa “cukup lah tu, bagi dia serik”. Tapi luka itu tak keluar bila pintu dibuka. Dia duduk dalam hati. Diam. Lama.

Kita nampak anak diam selepas itu, kita rasa berjaya.
Hakikatnya kita baru saja ajar anak satu pengajaran paling bahaya :

“Bila aku takut, tak ada siapa akan selamatkan aku.”

Dan percayalah… anak yang belajar macam ini akan membesar dengan dua kemungkinan. Sama ada dia jadi terlalu lemah. Hidup dengan anxiety, takut bersendirian, takut buat salah walaupun perkara kecil.

Atau dia jadi keras, tak peduli perasaan orang, sebab dia sendiri pernah dibiarkan dalam ketakutan.

Lebih menakutkan, satu hari nanti, bila dia ada anak sendiri, dia mungkin ulang benda yang sama.
Sebab itu saja cara “didikan” yang dia kenal. Dan kitaran itu… kita yang mulakan.

Kita selalu takut anak rosak sebab kawan, sebab media sosial, sebab dunia luar.
Tapi pernah tak terfikir anak itu mungkin rosak perlahan-lahan dalam rumah sendiri?

Dalam bilik yang kita gelapkan. Dengan tangan kita sendiri yang menutup pintu.

Ini bukan cerita drama.
Ini realiti yang ramai tak nak mengaku.

Didikan bukan tentang siapa paling kuat, siapa paling ditakuti.
Didikan adalah tentang siapa yang anak rasa paling selamat untuk kembali.

Kalau anak buat salah, betulkan. Tegas, ya. Marah, boleh.
Tapi jangan sampai kita jadi mimpi ngeri dalam hidup dia.Sebab satu hari nanti, bila dia dah besar…
dia mungkin lupa apa kesalahan dia dulu tapi dia takkan lupa siapa yang pernah tinggalkan dia dalam gelap.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.