Dengar playlist penuh di sini
.

Dalam hidup ini, ibu bapa mengejar banyak perkara untuk anak. Nak anak berjaya. Nak anak pandai. Nak anak hidup senang. Tapi hakikatnya, ada satu kebahagiaan yang jauh lebih dalam daripada semua itu iaitu bila melihat anak solat lima waktu tanpa perlu disuruh.
Waktu itu, hati ibu bapa jadi tenang dengan cara yang sukar dijelaskan. Bukan sebab anak itu sempurna, tapi sebab kita tahu… dia ada hubungan dengan Tuhan.
Bayangkan satu hari, kita tak perlu lagi jerit: “Dah solat ke belum?” Tak perlu paksa, tak perlu marah. Tiba-tiba kita nampak anak ambil wuduk sendiri, bentang sejadah dan solat dengan tenang.
Masa itu, ramai ibu bapa akan diam sekejap. Ada yang senyum. Ada yang sebak. Sebab itulah hasil didikan yang sebenar. Bukan sekadar anak dengar cakap depan kita tapi anak buat kebaikan walaupun kita tak tak nampak. Itulah tanda didikan sudah masuk ke dalam hati bukan sekadar di telinga.
Ramai ibu bapa hari ini risau kalau anak tak skor A, stres kalau anak tak masuk universiti hebat, banding anak dengan orang lain. Tapi jarang kita tanya anak kita solat tak bila kita tak sedar?
Kerana kalau anak itu menjaga solat, insyaAllah dia akan lebih menjaga hidupnya. Solat itu bukan sekadar rutin. Ia benteng, ia pengingat, ia yang akan tarik anak kembali bila dia hampir tersasar.
Dan percayalah, anak yang jaga solat bukan bermakna dia takkan buat salah. Tapi dia ada tempat untuk kembali. Dia tahu siapa yang dia perlu cari bila hidup jadi gelap. Itulah yang buat ibu bapa rasa tenang. Bukan sebab anak tak diuji tapi sebab anak tahu ke mana nak berpaut.
Namun, kebahagiaan ini tak datang secara tiba-tiba. Ia datang dari didikan yang konsisten, dari contoh ibu bapa sendiri dari doa yang tak pernah putus. Kalau kita sendiri culas solat, susah untuk anak rasa ia penting. Anak bukan belajar dari apa yang kita cakap. Mereka belajar dari apa yang kita buat setiap hari.
Akhirnya, bila satu hari kita sudah tiada… harta tak boleh jaga anak, nama tak boleh selamatkan anak. Tapi solat itulah yang akan jadi teman dia. Dan saat itu, ibu bapa yang pernah melihat anaknya solat tanpa disuruh… akan tahu, itulah kebahagiaan sebenar yang tak boleh dibeli dengan apa pun di dunia ini.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.