Dengar playlist penuh di sini
.

Dalam sebuah perkahwinan, ramai yang memahami nafkah hanya dari sudut material iaitu makan minum, tempat tinggal, pakaian. Namun hakikatnya, ada satu lagi nafkah yang sama penting malah sering terlepas pandang iaitu nafkah batin isteri. Nafkah ini bukan sekadar hubungan fizikal tetapi melibatkan emosi, perhatian, kasih sayang dan layanan harian seorang suami terhadap isterinya.
Ramai suami mungkin tidak sedar bahawa perkara-perkara kecil sebenarnya memberi kesan yang sangat besar dalam hati seorang isteri. Contohnya, memegang tangan isteri ketika berjalan. Nampak remeh tapi itulah tanda bahawa dia dihargai dan tidak dipandang sepi. Begitu juga dengan bertanya khabar setiap hari, soalan mudah seperti “awak okay tak hari ni?” boleh membuatkan isteri rasa diambil berat.
Ucapan juga memainkan peranan penting. Biasakan diri untuk mengucapkan terima kasih dan memuji isteri. Walaupun perkara yang dilakukan nampak biasa seperti memasak atau mengurus rumah, bagi isteri, pengiktirafan daripada suami adalah sesuatu yang sangat bermakna. Jangan berkira untuk memuji. Kadang-kadang satu ayat pujian boleh mengubat penat seharian.
Sentuhan juga adalah bahasa cinta yang kuat. Kucupan di kening, ubun-ubun atau tangan serta pelukan tanpa diminta, mampu memberi rasa selamat dan tenang kepada isteri. Ia bukan tentang romantik semata-mata tetapi menunjukkan kehadiran dan kasih sayang yang tulus.
Selain itu, hubungan yang sihat juga dibina melalui komunikasi. Luangkan masa untuk berbual, bergurau dan ketawa bersama. Jangan biarkan hubungan jadi kaku hanya kerana sibuk dengan kerja atau telefon. Kadangkala, momen kecil seperti duduk berbual santai lebih berharga daripada perkara besar.
Sesekali, tidak salah untuk memberi kejutan kecil. Tidak perlu mahal, cukup sekadar sesuatu yang menunjukkan usaha dan ingatan. Isteri tidak mengharapkan kesempurnaan tetapi menghargai keikhlasan.
Dalam masa yang sama, ego juga perlu diketepikan. Jika berlaku salah faham, biasakan diri meminta maaf dahulu, walaupun kita rasa kita tidak sepenuhnya salah. Mengalah bukan bererti kalah tetapi tanda kita lebih menghargai hubungan daripada ego sendiri. Jangan sesekali membalas merajuk dengan merajuk. Itu hanya akan memburukkan keadaan.
Suami juga perlu ringan tulang di rumah. Membantu kerja rumah dan tidak membiarkan isteri mengangkat benda berat adalah sebahagian daripada tanggungjawab dan tanda kasih sayang. Perkahwinan bukan tentang siapa buat lebih tetapi bagaimana saling melengkapi.
Sebenarnya nafkah batin bukan sesuatu yang susah atau mahal. Ia datang daripada sikap, perhatian dan usaha harian seorang suami. Isteri mungkin tidak meminta banyak tetapi apa yang dia perlukan adalah rasa dihargai, disayangi dan ditemani. Bila nafkah batin ini dijaga dengan baik, insya-Allah rumah tangga akan lebih bahagia, harmoni dan penuh keberkatan.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.