Dengar playlist penuh di sini
.

Kalau ada satu soalan yang nampak remeh tapi sebenarnya “deep”, inilah dia..nak kencing berdiri atau duduk? Bunyi macam topik sembang kedai kopi tapi hakikatnya perbahasan ini dah lama wujud senyap-senyap, tapi konsisten.
Bagi kebanyakan lelaki, kencing berdiri adalah “default setting” sejak kecil. Cepat, praktikal dan tak perlu fikir panjang. Masuk tandas, siap, keluar. Simple. Tambah pula kalau tandas awam lagi logik untuk berdiri. Tak perlu sentuh apa-apa, kurang risiko, terus selesai misi.
Tapi… bila kita masuk fasa hidup yang lebih matang (atau bila dah kena marah dengan pasangan sebab lantai tandas basah), mula timbul persoalan betul ke cara ni yang terbaik?
Sebenarnya, kencing sambil duduk ada beberapa kelebihan yang ramai tak perasan. Dari sudut kesihatan, posisi duduk membantu pundi kencing kosong dengan lebih sempurna. Ini sangat membantu terutamanya bagi lelaki yang semakin berusia atau yang ada masalah prostat. Bila duduk, badan lebih relaks, otot-otot pun kurang tegang dan hasilnya, aliran air lebih lancar dan habis dengan lebih baik.
Selain itu, aspek kebersihan pun tak boleh dipandang ringan. Realitinya, bila berdiri, percikan kecil hampir mustahil dielakkan walaupun nampak macam “clean shot”. Percikan halus ni boleh melekat pada lantai, dinding, malah pakaian tanpa kita sedar. Sebab tu ada orang kata, tandas lelaki ni ada “aura tersendiri”. Duduk pula secara automatik mengurangkan masalah ini. Kurang percikan, kurang drama dan tandas pun lebih bersih.
Namun begitu, bukanlah kencing berdiri itu salah. Dalam banyak situasi, ia tetap pilihan paling praktikal terutama bila tergesa-gesa atau berada di tempat awam. Cuma, ada satu perkara yang jarang dibincangkan. Kencing berdiri kadang-kadang boleh meninggalkan sisa air kencing dalam saluran uretra. Inilah yang boleh menyebabkan “after-drip” iaitu situasi tak menyenangkan bila dah pakai seluar, tiba-tiba rasa macam ada baki yang keluar.
Jadi, mana satu yang betul?
Sebenarnya tiada satu cara yang mutlak. Ia bergantung pada keselesaan, situasi, dan tahap kesedaran individu terhadap kebersihan. Kalau di rumah, terutama tandas dikongsi dengan ahli keluarga, mungkin duduk adalah pilihan yang lebih bertanggungjawab. Kalau di luar, berdiri mungkin lebih sesuai.
Ini bukan soal ego atau “kejantanan”. Ini soal adab, kesihatan dan hormat kepada orang lain yang berkongsi ruang yang sama. Pilihan di tangan masing-masing… walaupun ada kajian yang secara halus “membisikkan” bahawa duduk itu mungkin lebih sihat.
Apa pun pilihan anda, satu perkara paling penting, pastikan tandas ditinggalkan dalam keadaan lebih baik. Itu baru lelaki sejati.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.