Komuniti Digital Dewasa
00%

Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Statistik Perceraian Mencanak: Perkahwinan Semakin Rapuh?

Statistik perceraian 2025 menunjukkan angka yang membimbangkan. Perkahwinan nampak semakin mudah goyah apabila diuji tekanan hidup moden.

Bila kita buka berita atau dengar cerita orang sekeliling, satu perkara yang makin kerap muncul ialah isu penceraian. Dulu mungkin ia jadi berita yang agak besar tapi sekarang seolah-olah sudah jadi sebahagian daripada realiti harian.

Dan yang buat kita tersentak bukan sekadar cerita itu tapi jumlahnya yang semakin tinggi.

Berdasarkan laporan terkini, sebanyak 53,245 pasangan Islam di seluruh negara dilaporkan bercerai dalam tempoh sembilan bulan tahun 2025. Selangor mencatat angka tertinggi dengan 10,774 kes, diikuti Johor (6,078), Kedah (4,582), Perak (3,908) dan Kelantan (3,820). Negeri-negeri lain juga menunjukkan angka yang bukan kecil. Sabah, Pahang, Terengganu, Wilayah Persekutuan dan lain-lain semuanya ada bahagian masing-masing dalam statistik ini.

Bila tengok angka macam ini, tanpa sedar kita akan terfikir satu benda. Apa sebenarnya yang sedang berlaku dalam perkahwinan hari ini?

Kenapa nampak macam semakin mudah orang berpisah?

Mungkin salah satu sebabnya ialah cara kita melihat perkahwinan itu sendiri sudah berubah. Dulu, perkahwinan dianggap sesuatu yang perlu dipertahankan sampai habis. Apa pun jadi, kena bertahan. Tapi sekarang, ramai lebih menilai dari sudut ketenangan diri. Kalau rasa tak bahagia, kalau rasa terlalu tertekan, jalan keluar nampak lebih cepat dan lebih logik.

Bukan bermaksud ia salah. Cuma realitinya sudah berbeza.

Dalam masa yang sama, hidup sekarang memang lebih mencabar. Kos sara hidup tinggi, kerja penat, tekanan emosi pun makin berat. Balik rumah bukan semestinya terus jadi tenang. Kadang-kadang, dua-dua pasangan sama-sama letih tapi tak sempat nak betul-betul berbual dari hati ke hati.

Akhirnya, salah faham kecil pun boleh jadi besar. Benda yang dulu mungkin boleh ketawa sama-sama, sekarang jadi punca bergaduh lama.

Satu lagi perkara yang tak boleh dinafikan ialah media sosial. Kita selalu nampak kehidupan orang lain yang nampak sempurna…pasangan romantik, rumah tangga bahagia, anak-anak comel. Tanpa sedar, kita mula bandingkan dengan hidup sendiri. Sedangkan yang kita tengok itu cuma highlight, bukan keseluruhan cerita.

Ada juga faktor kurang kemahiran mengurus konflik. Perkahwinan sebenarnya bukan tentang tak bergaduh, tapi tentang macam mana nak baiki semula bila bergaduh. Tapi tak semua orang dibekalkan dengan cara itu. Bila emosi memuncak, masing-masing diam, masing-masing simpan dan akhirnya jarak makin jauh.

Namun begitu, kita juga perlu adil.

Tak semua penceraian itu tanda kegagalan. Ada hubungan yang memang sudah sampai tahap tidak sihat, terlalu menyakitkan atau tidak lagi memberi ruang untuk membina kehidupan yang lebih baik. Dalam situasi itu, berpisah kadang-kadang adalah jalan yang paling selamat.

Cuma yang buat kita berfikir panjang ialah bila perkahwinan mula dilihat terlalu ringan. Mudah dibina, dan mudah juga dilepaskan tanpa benar-benar cuba memperbaiki.

Hakikatnya, perkahwinan bukan tentang hari bahagia sahaja.

Ia tentang hari-hari biasa, hari yang penat, hari yang sunyi,dan hari yang kita rasa nak putus asa tapi masih cuba bertahan.

Sebab akhirnya, bukan soal berapa ramai yang bercerai.

Tapi sejauh mana kita benar-benar bersedia untuk menjaga apa yang kita mulakan dengan satu janji yang besar.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.