Komuniti Digital Dewasa
00%

Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Budaya Rakam Aib Orang Buat Projek & Itu Bukan Dosa?

Media sosial hari ini sudah nampak seperti bayangan "Padang Mahsyar" kecil, di mana setiap kesilapan manusia dipertontonkan kepada khalayak ramai.

Zaman sekarang, ramai yang seolah-olah mendapat kepuasan apabila berjaya merakam kesalahan orang lain. Contoh yang paling kerap kita lihat adalah video “projek” dalam kereta atau maksiat di tempat awam. Apabila lensa kamera berjaya menangkap saat tersebut, ada satu rasa “superior” atau rasa diri lebih mulia muncul dalam hati si perakam. Kita rasa kita baik, lalu dengan bangganya kita memuat naik video tersebut supaya netizen boleh berjemaah melihat dan mencaci aib orang itu. Seolah-olah kita bangga dengan mendedahkan dosa orang.

Media sosial hari ini sudah nampak seperti bayangan “Padang Mahsyar” kecil, di mana setiap kesilapan manusia dipertontonkan kepada khalayak ramai dalam sekelip mata. Namun, kita sering terlupa bahawa kita sendiri adalah hamba yang penuh dengan dosa tersembunyi. Saban hari kita merayu dalam doa supaya Allah menutup aib kita daripada diketahui manusia. Bayangkan, apa akan jadi jika Allah mendedahkan pula aib kita sepertimana kita mendedahkan aib orang lain? Mungkin pendekatan kita menutup aib seorang yang khilaf itu sebenarnya adalah asbab untuk Allah menutup aib kita di akhirat kelak. Who knows?

Membanteras maksiat memang satu kewajipan, tetapi cara kita melakukannya mencerminkan tahap berhemahnya kita sebagai manusia. Adalah lebih baik jika kita memilih pendekatan yang lebih matang dan sistematik. Jika anda nampak aktiviti mencurigakan, rakam sebagai bukti peribadi dan ambil gambar nombor plat kenderaan tersebut. Seterusnya, serahkan bukti itu kepada pihak polis atau Jabatan Agama Islam untuk tindakan lanjut. Beritahu orang tersebut bahawa undang-undang ada untuk menguruskannya, bukannya menjadikan aib itu sebagai tontonan umum yang tidak mendatangkan sebarang manfaat.

Jabatan Agama Islam mempunyai kuasa untuk bertindak sekiranya bukti yang kukuh diberikan. Jika mereka boleh mengetuk pintu rumah untuk kes maksiat tertutup, sudah tentu mereka boleh melakukan perkara yang sama jika ada bukti sahih mengenai aktiviti di tempat awam atau dalam kenderaan. Dengan cara ini, maksiat dapat dibanteras, pelaku mendapat pengajaran yang sewajarnya melalui saluran undang-undang, dan yang paling penting, aib individu tersebut tidak tersebar secara liar sehingga merosakkan masa depan atau maruah keluarga mereka yang tidak bersalah.

Marilah kita bermuhasabah diri sebelum menekan butang “share”. Janganlah kita menjadi punca fitnah yang berpanjangan di dunia digital. Menghentikan penyebaran aib bukan bermaksud kita menyokong maksiat, tetapi kita memilih untuk menjadi manusia yang berakhlak dalam menegur kesilapan. Biarlah pihak berkuasa yang menjalankan tugas mereka, manakala tugas kita adalah menjaga lisan dan jari daripada terus menambah dosa kering dengan menyebarkan keburukan orang lain yang mungkin satu hari nanti sedang dalam proses untuk bertaubat.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.