Dengar playlist penuh di sini
.

Dalam kehidupan bermasyarakat, rumah bukan sekadar tempat berteduh. Ia juga ruang untuk mengeratkan silaturahim. Namun ada satu nasihat orang lama yang semakin dilupakan, jangan biarkan rumah tidak dikunjungi tetamu sehingga 40 hari. Mungkin bagi sesetengah orang, ia kedengaran seperti kepercayaan lama semata-mata tetapi jika difikirkan secara mendalam, ada nilai yang cukup besar di sebaliknya.
Zaman sekarang, ramai yang lebih selesa duduk dalam “bubble” sendiri. Pintu rumah sentiasa tertutup, komunikasi pun sekadar melalui telefon. Bila masak lebih, kita fikir, “Simpan saja, nanti boleh makan lagi.” Jarang terlintas untuk berkongsi dengan jiran atau menjemput orang datang menjamu selera. Sedangkan, budaya berkongsi rezeki inilah yang sebenarnya menghidupkan suasana kejiranan.
Apabila rumah sentiasa terbuka untuk tetamu, ia bukan sahaja memeriahkan suasana tetapi juga membawa keberkatan. Tetamu datang dengan doa, dengan cerita dan kadangkala membawa rezeki yang kita sendiri tak sangka. Rumah yang sering dikunjungi biasanya terasa lebih “hidup”, ada gelak tawa, ada suara perbualan dan ada kenangan yang tercipta.
Sebaliknya, apabila terlalu lama tiada orang datang, suasana rumah boleh jadi suram tanpa kita sedari. Bukan bermaksud perlu sentiasa mengadakan jamuan besar, cukup sekadar menjemput rakan atau jiran datang minum petang. Kadangkala, sekadar berkongsi sepinggan kuih atau secawan kopi sudah memadai untuk mengeratkan hubungan.
Sikap terlalu berkira dengan makanan juga perlu diubah. Rezeki yang kita dapat bukan hanya untuk dinikmati sendiri. Ada bahagian orang lain di dalamnya. Bila kita mula berkongsi, kita akan sedar bahawa apa yang kita beri tidak pernah mengurangkan malah seringkali bertambah dalam bentuk yang berbeza seperti ketenangan, hubungan yang baik dan rasa syukur.
Orang lama selalu berpesan, rumah yang jarang menerima tetamu bukan sahaja sunyi tetapi juga boleh menjauhkan kita daripada masyarakat. Dalam dunia yang semakin individualistik ini, nasihat ini sebenarnya lebih relevan berbanding dahulu. Kita mungkin sibuk dengan kerja dan urusan harian tetapi meluangkan sedikit masa untuk orang lain mampu memberi kesan besar dalam kehidupan.
Soal 40 hari itu bukanlah angka yang perlu dipegang secara literal tetapi sebagai peringatan. Peringatan supaya kita tidak terlalu lama mengasingkan diri, supaya kita sentiasa membuka ruang untuk orang lain hadir dalam hidup kita. Kerana dalam setiap kunjungan, ada rahmat yang mungkin kita tidak nampak dengan mata kasar tetapi pasti dirasai oleh hati.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.