Dengar playlist penuh di sini
.

Dalam sesebuah rumah tangga, suami dipertanggungjawabkan sebagai pemimpin dan pencari nafkah utama. Walaupun pada zaman ini ramai isteri turut bekerja dan menyumbang kepada kewangan keluarga, hakikat tanggungjawab asal tetap berada di bahu suami. Peranan ini bukan sekadar soal wang tetapi tentang amanah dan keseimbangan dalam membina keluarga yang harmoni.
Mungkin ada yang beranggapan, jika isteri sudah bekerja maka tidak perlu lagi meminta apa-apa daripada suami. Namun dalam konteks hubungan suami isteri, perkara ini bukan hanya tentang kemampuan kewangan. Ia lebih kepada menghidupkan peranan dan hubungan emosi antara suami dan isteri. Apabila isteri masih meminta, ia secara tidak langsung mengingatkan suami tentang tanggungjawabnya sebagai pemberi nafkah.
Kadangkala, permintaan itu tidak pun besar. Nak makan soto, minta suami belikan. Nak makan kentang goreng, pun minta suami ambilkan. Nak beli baju, tetap libatkan suami dalam keputusan. Walaupun nampak remeh, perkara kecil seperti ini sebenarnya boleh mengeratkan hubungan. Ia membuatkan suami rasa diperlukan dan isteri pula rasa dihargai sebagai seorang isteri, bukan sekadar individu yang berdikari sendiri.
Menurut sebahagian para ustaz, apabila isteri meminta daripada suami dengan cara yang baik, ia membuka pintu rezeki yang lebih luas kepada suami. Rezeki itu bukan hanya dalam bentuk kewangan tetapi juga ketenangan, keberkatan dan kelapangan dalam urusan hidup. Seolah-olah Allah melapangkan rezeki suami kerana dia melaksanakan amanahnya dengan baik dalam memberi nafkah kepada keluarga.
Namun dalam realiti hari ini, ada suami yang mula lupa tanggungjawab asal kerana melihat isteri sudah mampu berdikari. Sedikit demi sedikit, peranan memberi nafkah menjadi kabur. Dalam masa yang sama, isteri pula mungkin sudah terbiasa mengurus semuanya sendiri sehingga tidak lagi melibatkan suami. Akhirnya, hubungan yang sepatutnya saling melengkapi menjadi semakin jauh tanpa disedari.
Hakikatnya, rumah tangga yang harmoni bukan terletak pada siapa yang lebih banyak memberi tetapi pada bagaimana setiap peranan itu dihargai dan dilaksanakan dengan betul. Isteri yang bekerja bukan bermaksud perlu menolak peranan suami dan suami yang bertanggungjawab tidak boleh mengabaikan amanahnya hanya kerana isteri membantu.
Meminta pada suami bukan soal kebergantungan semata-mata tetapi tentang menjaga keseimbangan dan keberkatan dalam rumah tangga. Dalam perkara kecil yang nampak biasa, sebenarnya tersembunyi hikmah yang besar dalam menguatkan kasih sayang antara suami dan isteri. Kerana rumah tangga yang bahagia bukan dibina atas siapa lebih kuat berdiri sendiri tetapi siapa yang saling melengkapi dengan penuh rasa tanggungjawab dan cinta
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.