Dengar playlist penuh di sini
.

Di suatu sudut dewan yang riuh dengan senyuman dan ucapan tahniah, ada satu hati yang diam-diam berperang dengan perasaan sendir. Itulah hati seorang bapa.
Sejak kecil, dialah yang menyambut tangisan pertama itu. Dialah yang mendukung, menenangkan, mengajar langkah pertama yang goyah. Dari tapak kaki kecil yang belajar berjalan hingga tangan halus yang suatu ketika dulu tak pernah lepas daripada genggaman, semuanya tersimpan kemas dalam ingatan seorang bapa. Anak perempuan itu bukan sekadar anak tetapi sebahagian daripada jiwanya.
Masa berlalu tanpa meminta izin. Anak kecil yang dulu berlari pulang memanggil “abah” kini berdiri anggun di hadapan, lengkap dengan busana pengantin. Cantik, tenang… dan bersedia untuk melangkah ke dunia baharu. Dunia yang suatu ketika dulu tidak pernah terlintas di hati seorang bapa..dunia di mana dia bukan lagi lelaki utama dalam hidup anaknya.
Saat akad dilafazkan, mungkin orang lain melihat ia sebagai detik bahagia. Namun bagi seorang bapa, itu juga detik melepaskan. Melepaskan seorang anak yang selama ini dijaga siang malam, kini diserahkan kepada seorang lelaki lain untuk dipimpin, dilindungi dan disayangi.
Bukan mudah untuk hati itu reda sepenuhnya. Dalam diam, ada rasa risau yang tidak pernah hilang. “Mampukah dia jaga anak aku seperti aku menjaganya?” “Adakah dia akan faham setiap air mata yang pernah aku lap?” Soalan-soalan ini mungkin tidak pernah diluahkan tetapi ia sentiasa bermain di sudut hati seorang bapa.
Namun seorang bapa tidak akan menunjukkan kelemahandi hadapan anaknya. Dia tetap tersenyum, mengangguk tanda restu walaupun dalam dada ada sesuatu yang terasa kosong. Dia tahu, cinta seorang ayah bukan untuk memiliki selamanya tetapi untuk membesarkan dan akhirnya melepaskan dengan doa.
Bagi seorang isteri, mungkin hari itu adalah permulaan hidup baharu. Tetapi bagi seorang bapa, ia adalah penutup satu bab yang paling berharga dalam hidupnya. Rumah yang dulu riuh dengan suara anak perempuan, kini terasa sedikit sunyi. Kerusi makan yang dulunya penuh cerita, kini ada ruang yang tidak lagi terisi.
Namun di sebalik kesedihan itu, ada juga harapan yang besar. Harapan agar lelaki yang kini bergelar suami itu benar-benar menjaga amanah yang telah diserahkan. Bagi seorang bapa, anak perempuan itu bukan sekadar tanggungjawab tetapi dialah harta paling berharga yang pernah dimiliki.
Kepada golongan isteri juga mereka yang bakal melangkah ke alam perkahwinan, ingatlah… di sebalik senyuman seorang bapa pada hari pernikahan, ada hati yang sedang belajar untuk melepaskan dengan penuh reda. Hargailah suami yang memimpin tetapi jangan sesekali lupa lelaki pertama yang mengajar apa itu kasih tanpa syarat.
Walau sejauh mana pun langkah seorang anak perempuan, dalam hati seorang bapa… dia tetap anak kecil yang suatu ketika dulu mencari teduh dalam dakapannya.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.