Komuniti Digital Dewasa
00%

Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Siapkan Kerja Sekolah Guna AI: Hasil On Point, Otak Kosong?

Tak perlu tiru kawan lagi, sekarang ada AI. Kerja rumah siap, tapi pemahaman ke mana? Isu ini makin jadi kebiasaan dalam kalangan pelajar hari ini.

Kalau dulu, bila cikgu bagi kerja rumah, itu tandanya malam akan sibuk. Buku latihan dibuka, jawapan dipadam berkali-kali dan kalau tak tahu jawab mula lah sesi tiru kawan keesokan harinya. Itu pun dengan risiko kena marah kalau kantoi.

Tapi sekarang? Cerita dia lain.

Budak-budak sekolah hari ini hidup dalam dunia yang jauh lebih pantas. Dengan adanya teknologi seperti ChatGPT, kerja rumah yang dulunya ambil masa berjam-jam boleh siap dalam beberapa minit. Karangan? Taip tajuk, terus siap penuh isi. Soalan kira-kira? Ambil gambar, terus dapat jawapan lengkap dengan langkah sekali.

Nampak hebat. Nampak efisien. Tapi di sinilah timbul satu persoalan besar. Betul ke mereka faham?

Masalahnya bukan pada teknologi itu sendiri. Malah, kalau digunakan dengan betul, ia boleh jadi alat pembelajaran yang sangat kuat. Pelajar boleh minta penjelasan, faham konsep dengan lebih mudah malah belajar dengan cara yang lebih interaktif. Tapi realiti yang berlaku sekarang, ramai yang sekadar “copy paste”. Jawapan siap, kerja siap tapi otak tak bergerak.

Inilah bezanya antara “siap kerja” dan “belajar sesuatu”.

Dulu, walaupun tiru kawan, sekurang-kurangnya ada sedikit usaha..tanya, berbincang, cuba faham walau sikit. Sekarang, semuanya hujung jari. Tekan butang, terus dapat jawapan yang nampak sempurna. Tapi bila ditanya balik, ramai yang tak mampu terangkan apa yang mereka tulis sendiri.

Ini yang membimbangkan.

Kalau berterusan, kita bukan sahaja melahirkan pelajar yang bergantung sepenuhnya pada teknologi tetapi juga hilang kemahiran asas iaitu berfikir, menganalisis dan menyelesaikan masalah. Sedangkan itulah tujuan sebenar kerja rumah diberi bukan sekadar nak penuhkan buku latihan.

Namun, tak adil juga untuk terus menyalahkan pelajar semata-mata. Mereka membesar dalam dunia yang serba mudah. Cabaran sebenar adalah bagaimana ibu bapa dan guru membimbing mereka menggunakan teknologi dengan cara yang betul. Bukan melarang tapi mengajar.

Contohnya, gunakan AI untuk faham konsep bukan sekadar ambil jawapan. Minta pelajar terangkan semula dengan ayat sendiri. Atau ubah cara kerja rumah seperti lebih kepada pemahaman, bukan hafalan atau salin semula.

Hakikatnya, teknologi seperti ChatGPT tak akan ke mana. Ia akan terus ada, malah semakin canggih. Persoalannya sekarang, kita nak biarkan ia “buat kerja” untuk pelajar, atau kita ajar pelajar cara “belajar” dengan bantuannya?

Akhirnya, kerja rumah mungkin siap. Tapi kalau ilmu tak masuk, apa sebenarnya yang mereka bawa ke masa depan? Tepuk dada, tanya selera.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.