Dengar playlist penuh di sini
.

Tak ada siapa yang bangun pagi dengan niat nak jadi anak derhaka. Hakikatnya kebanyakan daripada kita tak sedar pun bila sikap itu mula muncul perlahan-lahan, dalam nada suara, cara kita menjawab bahkan dalam hati sendiri. Derhaka bukan semestinya menjerit, memukul atau menghalau ibu bapa. Kadang-kadang ia hadir dalam bentuk yang jauh lebih halus… tapi tetap berat di sisi agama.
Dalam Islam, hubungan anak dan ibu bapa bukan hubungan biasa. Al-Quran sendiri berkali-kali mengingatkan supaya kita berbuat baik kepada mereka. Ini menunjukkan betapa tingginya kedudukan ibu bapa dan betapa seriusnya jika kita mengabaikannya.
1. Nada suara yang tinggi dan kasar
Kadang kita rasa biasa je bila jawab, “Ahh nanti lah…” atau bercakap dengan nada sinis. Tapi hakikatnya, perkataan sekecil “ah” pun telah diingatkan supaya dielakkan. Bukan sekadar apa yang kita cakap tapi bagaimana kita cakap itu yang mencerminkan hati kita. Muka masam, nada meninggi..semua itu boleh melukakan tanpa kita sedar.
2. Mengutamakan orang lain lebih daripada ibu bapa
Kawan ajak keluar, laju kita bersiap. Tapi bila mak ayah panggil, “kejaplah…” jadi jawapan biasa. Kita sanggup habiskan berjam-jam dengan orang luar tapi dengan ibu bapa cepat pula rasa rimas. Ini bukan soal masa semata-mata. Ini tanda keutamaan kita sudah mula berubah dan mungkin hati kita semakin menjauh.
3. Malu dengan ibu bapa sendiri
Malu dengan cara mereka bercakap, pekerjaan mereka atau latar belakang mereka. Sedangkan dulu, mereka tak pernah malu pun membesarkan kita walau dalam apa keadaan sekali pun. Kadang kita lupa, apa yang kita ada hari ini datang dari pengorbanan mereka yang tak pernah berkira.
4. Mengabaikan tanggungjawab dan nafkah
Bila sudah berjaya, mula lupa siapa yang dulu bersusah payah. Dalam Islam, berbakti kepada ibu bapa bukan pilihan tapi ia tanggungjawab. Memberi perhatian, menjaga kebajikan dan jika mampu, membantu dari segi kewangan. Semua ini adalah tanda kita menghargai mereka bukan sekadar dengan kata-kata.
5. Tidak mendoakan mereka
Ini yang paling halus tapi paling berat. Sama ada ibu bapa masih hidup atau sudah tiada, doa anak adalah antara hadiah paling bernilai. Dalam ajaran Islam, doa anak soleh adalah amalan yang berterusan pahalanya. Tapi berapa ramai antara kita yang benar-benar menadah tangan untuk mereka setiap hari?
Hari ini mungkin kita rasa semua ini perkara kecil. Tapi satu hari nanti, bila kerusi di rumah itu kosong, bila suara yang selalu memanggil kita sudah tiada, barulah kita faham nilainya. Waktu itu, penyesalan sudah tak mampu mengubah apa-apa.
Kalau hari ini masih ada peluang, gunakanlah. Peluk mereka. Minta maaf. Rendahkan suara. Tunjukkan kasih sayang selagi masih sempat. Kerana tidak semua orang masih diberi peluang itu.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.