Komuniti Digital Dewasa
00%

Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Anoreksia: Bila Lapar Pujian, Tubuh Pula Yang Dihukum

Demi kurus dan pujian, ada yang sanggup menahan lapar tanpa sedar diri semakin terhukum. Anoreksia bukan sekadar diet, tapi bahaya senyap.

Anoreksia Nervosa sering bermula dengan sesuatu yang nampak “baik”. Niat untuk jadi sihat, kurangkan berat badan atau nampak lebih menarik. Pada awalnya, mungkin sekadar kurangkan nasi, elak makanan manis atau rajin bersenam. Orang sekeliling pula mula memuji, “Eh, makin kurus sekarang!”

Di situlah semuanya perlahan-lahan berubah, tanpa kita benar-benar sedar.

Apa yang bermula sebagai disiplin bertukar menjadi obsesi. Makan bukan lagi keperluan tetapi ancaman. Setiap kalori dikira, setiap suapan datang dengan rasa bersalah. Lama-kelamaan, individu tersebut mula makan terlalu sedikit. Kadang-kadang hanya bertahan dengan air atau jumlah makanan yang tidak mencukupi untuk keperluan asas tubuh.

Yang menakutkan, walaupun badan sudah terlalu kurus, cermin masih menipu. Mereka tetap melihat diri sebagai tidak cukup kurus. Ketakutan untuk naik berat badan menjadi lebih kuat daripada rasa lapar itu sendiri. Dalam keadaan ini, rasa lapar dianggap sesuatu yang perlu dilawan, bukan dipenuhi.

Tubuh manusia tidak mampu bertahan lama dalam keadaan ini. Jantung mula lemah, tekanan darah menurun, rambut gugur, kulit menjadi kering dan badan mudah keletihan. Bagi wanita, haid boleh terhenti. Dalam kes yang serius, organ dalaman boleh mula gagal dan semua ini berlaku secara senyap, tanpa amaran yang jelas.

Lebih menyedihkan, ramai yang tidak sedar mereka sedang sakit. Atau lebih tepat, mereka tidak rasa itu satu masalah. Dalam fikiran mereka, ini adalah kejayaan. Kejayaan mengawal diri dan mencapai bentuk tubuh yang diinginkan.

Masyarakat juga tanpa sedar menyumbang. Kita terlalu cepat memuji perubahan fizikal tanpa memahami apa yang berlaku di sebaliknya. Kurus dianggap pencapaian walaupun mungkin ia datang daripada penderitaan yang tidak terlihat.

Anoreksia bukan tentang makanan semata-mata. Ia tentang kawalan, tekanan dan bagaimana seseorang melihat nilai dirinya. Dan ia bukan sesuatu yang boleh dihentikan dengan ayat mudah seperti “makanlah sikit lagi”.

Kesedaran adalah kunci. Jika anda nampak seseorang terlalu mengawal makan, takut berlebihan terhadap kenaikan berat atau semakin mengasingkan diri dari waktu makan, itu mungkin tanda yang perlu diberi perhatian.

Kurus bukan kemenangan jika ia mengorbankan kesihatan. Dalam diam, anoreksia boleh meragut lebih daripada sekadar berat badan. Ia boleh meragut kebahagiaan, kesihatan dan dalam kes yang paling menyedihkan..nyawa!

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.