Komuniti Digital Dewasa
00%

Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Ah Long Guna Taktik Baharu: “Kawan Lama” Untuk Cari Mangsa

Scammer sekarang makin licik. Mereka kaji hidup mangsa di media sosial sebelum datang sebagai “kawan lama” yang prihatin.
Kawan lama konon yaa?

Zaman sekarang, scammer makin licik. Kalau dulu mereka sekadar mesej rawak konon menang cabutan bertuah atau menyamar jadi pegawai bank, sekarang taktik mereka lebih halus dan menyeramkan.

Mereka mula study mangsa terlebih dahulu.

Lebih bahaya, mereka tahu ramai orang suka meluah di media sosial. Cerita hidup susah, banyak komitmen, tertekan dengan hutang, tak cukup duit, bisnes jatuh, gaji belum masuk… semua ini sebenarnya boleh jadi umpan untuk mencari mangsa yang sedang lemah.

Dan sekarang muncul pula taktik baharu yang ramai belum sedar.

Tiba-tiba ada “kawan sekolah lama” muncul semula.

Mula-mula sembang biasa. Tanya khabar, tanya kerja mana, ingat kenangan sekolah dulu-dulu. Siap panggil nama manja lama lagi supaya nampak meyakinkan.

Lepas beberapa hari berbual, dia mula masuk topik kewangan.

“Aku dengar kau tengah susah…”

“Aku kenal orang boleh tolong…”

“Kalau nak pinjam duit cepat, aku boleh bantu…”

Masa itu ramai mula rasa lega. Yelah, tengah sempit, tiba-tiba ada orang nak bantu. Tambah pula bila orang itu nampak macam kenalan lama.

Tapi jangan lega terlalu awal.

Inilah perangkap yang semakin banyak berlaku sekarang.

Ramai percaya sebenarnya sindiket ah long atau scammer kini menggunakan maklumat media sosial untuk mencari sasaran. Mereka tengok siapa yang kerap mengeluh pasal duit, siapa nampak terdesak, siapa sering kongsi masalah hidup.

Lepas itu mereka datang dengan gaya penyelamat.

Yang menyeramkan, kadang-kadang mereka tahu banyak maklumat tentang kita. Nama penuh, tempat kerja, sekolah lama, nama kawan-kawan malah gambar keluarga pun mungkin mereka sudah tengok dari akaun media sosial.

Sebab itu ramai mudah percaya.

Bila “kawan lama” tiba-tiba muncul dan tahu banyak perkara tentang hidup kita, kita terus rasa selesa. Kita fikir mustahil scammer sebab dia tahu macam-macam tentang kita.

Hakikatnya sekarang, terlalu mudah untuk orang asing kumpul maklumat peribadi hanya melalui internet.

Dan bila kita mula termakan pujukan untuk buat pinjaman mudah, di situlah mimpi ngeri boleh bermula.

Ada yang akhirnya terikat dengan pinjaman tak masuk akal. Ada yang dipaksa bayar bunga melampau. Ada yang diugut bila tak mampu bayar. Lebih teruk, ada yang maklumat peribadi mereka pula digunakan untuk perkara lain.

Sebab itu, kalau tiba-tiba ada orang lama muncul menawarkan bantuan kewangan yang terlalu mudah… berhati-hatilah.

Bukan semua orang datang semula dalam hidup kita sebab rindu persahabatan.

Kadang-kadang mereka datang sebab nampak kita sedang lemah.

Ini juga peringatan supaya kita lebih berhati-hati berkongsi terlalu banyak tentang masalah hidup di media sosial. Mengadu itu manusiawi tapi jangan sampai semua orang tahu kita sedang terdesak.

Scammer suka mangsa yang emosinya sedang penat.

Bila manusia terlalu tertekan, mereka lebih mudah percaya pada bantuan yang nampak melegakan.

Ingat… dalam dunia sekarang, scammer bukan lagi datang dengan wajah garang atau nombor pelik semata-mata.

Kadang-kadang mereka datang sebagai “kawan lama” yang tiba-tiba muncul dengan ayat manis dan tawaran bantuan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.