Dengar playlist penuh di sini
.

Ada sitkom yang kita tonton kerana ia lucu. Tapi ada sitkom yang kita tonton kerana ia terasa seperti dekat dengan hati kita. Kopitiam adalah sitkom jenis kedua itu. Dari tahun 1998 hingga 2003, selama tujuh musim ia ditayangkan, kedai kopi milik Marie itu bukan sekadar latar sebuah cerita. Ia adalah tempat kita pulang setiap minggu.
Satu Kopitiam, Satu Malaysia Sebenar
Kopitiam mula ditayangkan di NTV7 pada tahun 1998, menjadi sitkom berbahasa Inggeris pertama Malaysia yang berjaya menarik penonton merentasi sempadan kaum dan usia. Marie yang berbangsa Eurasian, Uncle Chan dan Uncle Kong yang berbangsa Cina, Steven si pendandan rambut yang kelakar, Jo yang berimpian besar tapi selalu gagal dan Susan si peguam Singapura yang angkuh. Mereka semua lepak di dalam satu kopitiam yang sama, bergaduh, gelak dan akhirnya saling memahami.
Itulah Malaysia yang kita kenal. Bukan Malaysia yang ada dalam buku teks semata-mata tetapi Malaysia yang hidup di gerai-gerai tepi jalan, di kedai mamak dan di kopitiam-kopitiam tua yang menjadi pusat sosial masyarakat kita sejak sekian lama.
Gelak Yang Jujur, Mesej Yang Dalam
Yang membezakan Kopitiam daripada banyak program televisyen lain ketika itu ialah humornya yang tidak rasa seperti dipaksa. Ia tidak cuba untuk menjadi lucu sahaja tetapi cuba untuk menceritakan kehidupan harian orang Malaysia dengan cara yang paling jujur dan bersahaja yang menjadikan rancangan ini serasa dekat di hati penonton.
Penonton ketika itu duduk di hadapan televisyen setiap minggu bukan kerana tidak ada pilihan lain. Mereka duduk kerana mereka begitu benar mahu tahu apa yang akan berlaku kepada watak-watak yang sudah mereka suka dengan gelagat yang lucu dan beragam.
Kopitiam Yang Tidak Pernah Tutup Di Hati Kita
Tujuh musim dengan beratus-ratus episod, dan satu tema yang tidak pernah berubah iaitu bahawa di sebuah kopitiam yang kecil,masyarakat berbilang kaum yang berbeza boleh duduk bersama, berbeza pendapat dan tetap saling menyayangi. Bagi mereka yang membesar menonton Kopitiam, kenangan itu bukan sekadar kenangan tentang sebuah rancangan televisyen. Ia adalah kenangan tentang zaman di mana televisyen masih menjadi jambatan yang menyatukan keluarga di ruang tamu dan cerita-cerita yang baik masih cukup untuk membuat kita rasa lebih manusia.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.