Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengretro_master

Dulu Tak Suka Pakai, Hari Ini Ramai Rindu Baju Sekolah

Sebelum ada pilihan warna dan potongan, baju sekolah kita semua sama. Tapi dalam keseragaman itu, ada kenangan yang sangat berbeza bagi setiap orang.

Baju sekolah bukan sekadar pakaian. Ia adalah serpihan sejarah kepada setiap fasa kehidupan kita dari hari pertama sekolah rendah yang penuh tangisan, hingga ke hari terakhir sekolah menengah yang penuh rasa campur aduk antara lega dan sedih serta keadaan baju kita yang sentiasa berubah mengikut sekolah jenis apa dan juga keadaan baju pada waktu mulanya bersekolah di awal pagi yang mula berubah keadaan,apabila tamat sesi sekolah di waktu petang.

Putih, Biru, Kemudian Berkembang

Baju sekolah Malaysia bermula dengan konsep yang sangat mudah iaitu seragam putih dan biru untuk mewujudkan rasa persamaan dalam kalangan pelajar tanpa mengira latar belakang. Kemudian setiap sekolah mula memperkenalkan warna baju sukan dan baju unit beruniform masing-masing, menjadikan identiti sekolah semakin terserlah melalui pakaian.

Tapi bagi generasi yang membesar pada era 80-an dan 90-an, design baju telah berubah daripada seluar sekolah yang pendek,menjadi panjang dan diperkenalkan pilihan berbaju kurung yang lebih sopan.Walaupun begitu,kenangan yang dibawa bersama itulah yang menjadikannya bermakna dan lebih penting. Daripada baju putih yang tidak pernah putih bersih selepas rehat pertama, seluar yang koyak di lutut akibat terjatuh semasa bermain dan kasut putih yang dikapur setiap minggu supaya kelihatan baru walaupun sudah bertahun dipakai.

Seni Dalam Keseragaman

Walaupun semua orang memakai baju yang sama, generasi kita tahu caranya untuk tampil berbeza. Ada yang lipat lengan baju dua kali supaya nampak lebih bergaya. Ada yang pakai stokin setinggi lutut walaupun peraturan sekolah melarang. Ada yang tulis nama kawan-kawan di bahagian dalam kolar baju sebagai kenangan. Dan ada yang simpan baju sekolah terakhir tanpa dibasuh sebagai memori hari terakhir bersekolah.

Bila Baju Sekolah Menjadi Kenangan

Hari ini pelajar sekolah mempunyai pilihan yang lebih banyak dari segi rekaan dan bahan. Baju sekolah sudah lebih selesa, lebih moden, dan lebih pelbagai. Tapi ada satu benda yang tidak berubah iaitu perasaan pertama kali memakai baju sekolah baru setiap awal tahun. Bau kain baru, potongan yang lurus dan kemas, dan rasa yakin yang datang bersamanya, seolah-olah tahun baru sekolah ini akan menjadi berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. Itulah perasaan yang generasi kita, generasi anak-anak kita dan generasi selepas mereka akan terus merasainya. Sebab baju sekolah bukan sekadar pakaian. Ia adalah permulaan kepada ilmu yang bakal diperoleh.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.