Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Viral Konten Nabi: Sampainya Hati Kalian Atau Ada Niat Lain?

Gelak tawa dalam klip video itu mengundang persoalan sama ada ia satu penghinaan atau sekadar peringatan.

Baru-baru ini tular satu kandungan video yang memaparkan kenyataan:

“2026 patik menjangkakan tiada lagi orang yang ingat pada Nabi Muhammad.”

Selepas ayat itu disebut, kelihatan ada gelak tawa dalam video tersebut. Situasi ini kemudian mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen. Adakah ia satu bentuk penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW atau sebenarnya satu peringatan yang disalah tafsir?

Hakikatnya, sesuatu ayat boleh membawa dua makna bergantung kepada niat dan cara ia disampaikan.

Jika seseorang berkata dengan niat memperlekehkan, seperti menganggap pada masa depan orang tidak lagi perlu mengingati Nabi Muhammad SAW kerana dunia semakin moden, maka ia boleh dianggap sebagai satu bentuk penghinaan yang sangat berat.

Namun jika ia disampaikan dalam bentuk peringatan bahawa ramai manusia semakin sibuk dengan dunia, hiburan, fesyen dan kehidupan sehingga mula melupakan ajaran dan sunnah Nabi SAW maka ia boleh menjadi satu teguran yang menyentuh hati.

Perkara ini akhirnya kembali kepada niat individu yang mengucapkannya. Dan niat itu hanya Allah dan dirinya sendiri yang mengetahui.

Sebagai umat Islam, apabila berdepan dengan situasi seperti ini, kita perlu lebih berhati-hati dalam membuat kesimpulan. Jika kita merasakan ia satu keterlaluan, maka tegurlah dengan cara yang baik. Jika kita merasakan ia satu peringatan, maka ambillah pengajaran daripadanya.

Apa yang lebih penting, isu ini membuka mata kita tentang realiti hari ini.

Kita hidup dalam zaman di mana sebahagian manusia masih kuat mengingati Nabi Muhammad SAW dengan menghidupkan majlis selawat, menyebarkan kisah baginda dan mencontohi akhlaknya. Namun dalam masa yang sama, ada juga yang semakin jauh daripada panduan baginda, terlalu tenggelam dalam hiburan, dunia media sosial dan gaya hidup yang melalaikan.

Sedangkan Nabi SAW sudah pun memberi panduan jelas tentang cara hidup yang membawa kebaikan dan amaran tentang perkara yang boleh menjerumuskan manusia ke arah keburukan.

Perkara ini sepatutnya menjadi cermin untuk kita sendiri.

Bukan sekadar menilai orang lain, tetapi bertanya kepada diri..di mana kedudukan kita dalam mengingati dan mengamalkan ajaran Nabi Muhammad SAW?

Semoga Allah menjadikan kita, anak-anak kita dan keturunan kita termasuk dalam kalangan mereka yang sentiasa mencintai Nabi SAW, mengingati baginda dan berusaha mengikut sunnahnya dalam setiap aspek kehidupan.

Amin.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.