Dengar playlist penuh di sini
.
Minggu ini ada satu perkongsian di Threads yang buat ramai terkedu. Seorang isteri yang baru berkahwin pada tahun 2025 meluahkan perasaannya yang suaminya mengalami masalah erectile dysfunction (ED), dan sejak hari pertama perkahwinan hingga sekarang, tiada usaha langsung dari pihak suami untuk mendapatkan rawatan. Dia rasa tertipu, rasa diabaikan dan yang paling menyakitkan, rasa keseorangan dalam perkahwinan yang baru bermula.
Ramai yang diam-diam sebenarnya boleh relate dengan cerita ini.
ED atau disfungsi ereksi adalah keadaan di mana lelaki tidak mampu mencapai atau mengekalkan ereksi yang mencukupi untuk hubungan seksual. Ia bukan aib, dan bukan tanda kegagalan seseorang lelaki sebagai suami. Ia adalah kondisi perubatan. Kajian tempatan menunjukkan lebih 1.7 juta lelaki Malaysia mengalami ED, dan dalam 80% kes, ada punca fizikal yang boleh dikenal pasti sebagai masalah aliran darah, diabetes, ketidakseimbangan hormon, atau kesan sampingan ubat-ubatan tertentu. Tekanan dan kebimbangan turut menjadi penyumbang. Yang penting untuk difahami, ED sebenarnya boleh dirawat. Mereka boleh membuat pilihan mengambil ubat oral, terapi gelombang kejutan, terapi hormon, mahupun kaunseling psikologi. Halangan sebenar bukan rawatan, tapi keengganan untuk mencari solusi atau ego yang tidak mahu menjatuhkan maruah sebagai seorang lelaki dan suami.
Dan di situlah isu sebenar dalam cerita isteri tadi. Bukan semata-mata tentang ED itu sendiri, tetapi tentang suami yang sedar ada masalah, namun memilih untuk tidak berbuat apa-apa. Dari sudut Islam, nafkah batin adalah kewajipan suami kepada isteri. Jika ada halangan fizikal, suami tidak berdosa atas ketidakmampuan itu, tetapi dia tetap bertanggungjawab untuk berusaha. Diam dan berdolak-dalik adalah satu bentuk pengabaian terhadap hak isteri. Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia turut mengiktiraf perkara ini. Suami yang tidak menunaikan nafkah batin tanpa sebab munasabah boleh menjadi alasan sah untuk isteri membuat tuntutan di Mahkamah Syariah, termasuk permohonan fasakh jika keadaan menuntut sedemikian. Isteri dalam situasi ini ada hak, dan ada saluran yang boleh ditempuhi.
Namun sebelum sampai ke tahap itu, komunikasi sangat penting. Perkahwinan yang matang memerlukan dua pihak yang berani membincangkan perkara yang tidak disukai satu sama lain. Jika suami segan untuk berjumpa doktor seorang diri, pergi bersama. Jika tidak tahu dari mana hendak bermula, mulakan dengan satu perbualan yang jujur, bahawa anda ingin selesaikan ini bersama, bukan untuk menyalahkan, tetapi untuk membina semula apa yang sepatutnya ada dalam perkahwinan.
Jika anda ada pengalaman yang sama dan ingin berkongsi, anda boleh DM kami. Identiti anda akan dirahsiakan sepenuhnya, dan kita akan kupas serta bincangkan bersama dalam ruang yang selamat.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.