Dengar playlist penuh di sini
.
Dalam kita menikmati kemajuan yang sedang kita kecapi sekarang, dimana semua orang memiliki sekurang-kurangnya 1 gadget di tangan, kita sebenarnya sedang menuju ke arah hidup tanpa kawalan. Setiap orang rasa diri mereka adalah wartawan, pengarah filem, dan pengacara rancangan realiti, walhal tak bertauliah pun. Mereka cuma orang yang terlalu banyak masa lapang, tak de etika dan tak fikir dengan bijak.
Scroll je Tiktok atau Threads, confirm kita akan jumpa post gambar atau video seseorang lelaki kacak kat stesen LRT, perempuan cantik tengah makan sorang-sorang di kedai mamak dengan caption Dengan kuasa viral “tolong carikan siapa dia.” Kononnya nak “jumpa jodoh,” kononnya “tertarik.”
Mana adab anda? Orang tu tak minta pun fotonya diambil,dan lansung tak bagi kebenaran. Dia mungkin tengah penat lepas kerja, tengah sedih, tengah buat hal sendiri ,dan tetiba jadi bahan hiburan orang ramai yang tak dia kenal langsung.
Ini adalah pencerobohan privasi yang kita normalkan sebab ia nampak “comel” dan dapat banyak like.
Lepas tu ada pula golongan kedua yang lebih bahaya. Nampak orang bergaduh, terus rakam. Nampak kemalangan, rakam dulu baru tolong. Nampak situasi pelik sikit, terus angkat telefon dan tekan button live .Bukan sebab nak bantu, bukan sebab nak laporkan kepada pihak berkuasa, tapi sebab nak views. Sebab nak jadi yang pertama viralkan. Sebab rasa ada “tanggungjawab moral” katanya.
Yang paling menyedihkan? Mangsa dalam situasi tu, sama ada sedang menangis, terluka, atau dalam keadaan aib akan malu kerana menjadi bahan gelak atau Jadi “content” orang lain.
Masalah sebenar bukan teknologi. Masalahnya kita dah lupa bahawa orang lain bukan prop dalam cerita hidup kita.
Setiap orang yang anda rakam tu ada keluarga. Ada maruah. Ada perasaan. Mereka tak duduk pagi tu dan fikir, “hari ini saya nak jadi viral.” Tapi sebab seseorang rasa tangan gatal nak rakam, hidup mereka berubah, kadang-kadang untuk selamanya.
Kebebasan bermedia sosial bukan bermakna kebebasan untuk jadikan orang lain bahan tontonan.
Kalau nampak seseorang yang menarik, simpan je sorang-sorang. Kalau nampak situasi yang membimbangkan , hubungi pihak berkuasa, bukan buka camera. Kalau nak share sesuatu, tanya diri sendiri, adakah ini memudaratkan sesiapa?
Letak telefon. Tengok sekeliling. Jadi manusia dulu, content creator kemudian.
Dunia tak perlukan lagi seorang “wartawan jalanan” yang tak bertauliah. Dunia perlukan lebih ramai orang yang tahu jaga hal sendiri.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.