Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Saka, Warisan Yang Tak Pernah Mati, Dia Datang Menuntut Janji

Ada yang hijabnya terbuka, boleh melihat ada lelaki tinggi berpakaian seperti pahlawan siap bertanjak menjaga pintu gerbang. Itulah penjaga rumah tersebut.

Pernah dengar tentang saka? Mungkin ia tidak asing bagi sesetengah keluarga, kerana sering disebut-sebut golongan lebih tua, dan ia sesuatu yang tidak boleh dielak, tidak boleh disorok, tidak boleh ditolak begitu sahaja. Ia datang daripada nenek moyang yang dah lama pergi tetapi mereka meninggalkan sesuatu yang tak akan pergi jauh dari darah daging walaupun tanpa diundang.

Dalam kepercayaan tradisional Melayu, saka adalah makhluk halus, lazimnya daripada golongan jin yang terikat dengan perjanjian tertentu bersama pemiliknya dan diwariskan turun-temurun. Ia bukan datang dengan sendiri. Suatu ketika dahulu, kita yakin, dengan kurangnya pendedahan dan penekanan tentang syiriknya amalan ini, nenek moyang kita terdesak membuat pilihan demi perlindungan untuk diri sendiri, keluarga, kediaman, kampung di bawah jagaannya jika dia seorang penghulu ataupun jika dia seseorang yang mempunyai kuasa untuk melindungi sesuatu, mereka terpaksa menjadi kebal, supaya disegani, ditakuti dan dijauhi sesuatu yang memudaratkan. Contohnya penghulu kampung, ramai yang mengaku jika nenek moyang mereka merupakan seorang penghulu, mereka pasti pernah mengalami situasi ternampak sesuatu lembaga di depan rumah kampung seakan-akan mengawasi rumah.

Ada juga yang mengatakan, sewaktu nenek moyang kita membuka tanah baru di tengah hutan belantara, apabila tanah dibuka dan rumah didirikan, jin dipanggil untuk menjaga. Namun, ia dibuat dengan perjanjian, dan perjanjian-perjanjian inilah yang merentas dari generasi ke generasi walaupun pemilik asalnya dah lama tiada.

Ada pelbagai jenis saka, antara yang paling banyak disebuti, saka harimau. Pewarisnya sering digambarkan sebagai panas baran, tetapi juga gagah dan ditakuti. Ada situasi dimana dua kampung bergaduh, dan penduduk dilarang keluar dari rumah kerana ada harimau putih bersaiz gergasi berkeliaran di luar menghalang musuh daripada masuk. Sebuah keluarga di negeri pantai timur pernah melihat sendiri situasi dimana mereka perlu “memberi makan” kepada “penjaga rumah” dahulu andai mereka ingin mengadakan kenduri besar-besaran seperti majlis perkahwinan. Pintu gerbang juga perlu dibina sebagai laluan utama tetamu. Pernah tidak dituruti kerana anak cucu dah lama tahu perbuatan menjamu saka ini syirik, namun habis tetamu dan keluarga pengantin dirasuk dan bertukar menjadi harimau, memanjat meja dan bercakaran, mendengus seakan-akan bunyi harimau. Ada yang hijabnya terbuka pula, boleh melihat ada seakan-akan lelaki tinggi berpakaian seperti pahlawan siap bertanjak menjaga pintu gerbang. Itulah penjaga rumah tersebut. Akhirnya, keluarga akur dan terpaksa meletakkan makanan sebagaimana yang diminta dibawah pokok tempat saka-saka ini dulu dijamu oleh nenek moyang untuk elak diganggu oleh kejadian tidak diingini.

Setiap jenis saka membawa pantang larang tersendiri, dan membawa harga yang perlu dibayar. Apabila pantang larang itu dilanggar, atau apabila pewaris tidak tahu bahawa mereka sedang dijaga oleh sesuatu yang tidak mereka pilih, saka itu akan memberontak, mengganggu dan menuntut perjanjian lama yang dibuat oleh orang yang dah lama tiada.

Realitinya, generasi bertukar, anak-anak berpindah ke bandar dan ritual dah lama ditinggalkan. Pantang larang juga dilupakan, inikan pula nak asapkan kemenyan. Namun saka terus menghimpit dan terus menunggu kerana mereka makhluk yang menuntut janji.

Jika ada antara kita yang pernah merasainya, mimpi yang tidak masuk akal, penyakit yang doktor tak jumpa punca, emosi yang datang tanpa sebab, mungkin anda akan relate dengan kisah dalam filem Khadam. Filem seram yang kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia , sebuah filem berlatar era 1950-an tentang perjanjian yang tidak pernah tamat. Khadam, dibintangi Aghniny Haque, Datuk Remy Ishak, Siti Khadijah Halim, Zarra Zhaff, Karl’El dan Jun Lojong.

Tapi hati-hati,jangan datang seorang diri, takut pula ada yang temankan anda tanpa perlu scan tiket, mungkin dia datang menuntut janji!

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.