Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Hantu Teh O Ais Limau Mula Gelisah Dengan Dakwaan Ini

Minuman kegemaran ramai ini sering dikaitkan dengan gastrik dan "kering perut". Tetapi sejauh mana dakwaan itu disokong oleh sains?

Kalau sebut tentang minuman kegemaran rakyat Malaysia, Teh O Ais Limau memang antara yang berada dalam senarai teratas.

Masam-masam segar, sejuk pula bila diminum waktu cuaca panas. Tetapi dalam masa yang sama, ramai juga yang mula dengar satu nasihat yang agak popular.

“Jangan minum Teh O Ais Limau selalu. Nanti kering perut.”

Persoalannya, betulkah perut kita boleh “kering” hanya kerana segelas Teh O Ais Limau?

Sebenarnya, perut manusia memang mempunyai lapisan lendir semula jadi. Allah jadikan lapisan ini sebagai pelindung kepada dinding perut daripada asid gastrik yang sangat kuat. Tanpa lapisan lendir tersebut, asid dalam perut boleh merosakkan sel-sel pada dinding perut dan meningkatkan risiko keradangan atau gastrik.

Sebab itulah apabila orang bercakap tentang Teh O Ais Limau “mengeringkan perut”, apa yang biasanya dimaksudkan bukanlah perut menjadi kering seperti tanah yang ketandusan air.

Sebaliknya, ia merujuk kepada kemungkinan pengurangan lapisan lendir pelindung dalam perut.

Dari mana datangnya dakwaan ini?

Ada kajian yang menunjukkan kafein boleh mempengaruhi penghasilan lendir dalam perut. Namun ada satu perkara penting yang sering tertinggal apabila cerita ini disampaikan dari mulut ke mulut.

Kajian yang sering dirujuk bukan dilakukan secara terus ke atas manusia yang minum Teh O Ais Limau setiap hari.

Sebaliknya, ia merupakan kajian in vitro.

Maksudnya, penyelidik mengambil sel atau tisu tertentu dan mengkajinya di dalam makmal menggunakan bekas khas seperti piring kultur atau spesimen makmal. Dalam kajian tersebut, sel-sel berkaitan perut didedahkan kepada kafein dan perubahan yang berlaku diperhatikan.

Ya, terdapat kesan tertentu yang dilihat pada tahap sel.

Tetapi itu tidak semestinya bermaksud perkara yang sama akan berlaku dalam tubuh manusia dengan cara yang sama.

Tubuh manusia jauh lebih kompleks. Apabila kita minum sesuatu, ia akan melalui pelbagai proses pencernaan, tindak balas hormon, mekanisme perlindungan dan faktor lain yang tidak dapat ditiru sepenuhnya dalam kajian makmal.

Jadi, bolehkah Teh O Ais Limau menyebabkan gastrik?

Jawapannya tidak semudah ya atau tidak.

Bagi sesetengah individu yang memang sensitif terhadap kafein atau sudah mempunyai masalah gastrik, minuman berkafein mungkin boleh mencetuskan ketidakselesaan. Tetapi untuk mengatakan Teh O Ais Limau secara terus “mengeringkan perut” sehingga menyebabkan gastrik kepada semua orang adalah satu dakwaan yang terlalu mudah untuk isu yang lebih kompleks.

Jadi selepas ini, jika anda menikmati segelas Teh O Ais Limau kegemaran anda, tidak perlulah terus berasa bersalah.

Cuma seperti kebanyakan perkara dalam kehidupan, apa sahaja minuman nikmatilah secara berpada-pada.

Kadang-kadang, masalahnya bukan pada Teh O Ais Limau itu sendiri tetapi apabila kita sendiri yang berlebih-lebihan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.