Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengretro_master

Gelombang Mawi World Yang Pernah Gegar Seluruh Malaysia

Satu nama, satu fenomena. Apabila Mawi menang AF3, seluruh negara seolah-olah berhenti seketika hanya untuk bercakap tentang perkara yang sama.

Pada tahun 2005, pantang tiba waktu Maghrib, mesti ada saja rumah dalam taman perumahan yang TV-nya menyala dengan rancangan yang sama. Bukan sekadar tonton, malah ramai yang sanggup pinjam telefon mak atau ayah untuk hantar SMS undi. Lepas tu baru perasan kredit dah habis, maka bersedialah kena tegur sebab bil telefon naik mendadak bulan tu.

Raja SMS Yang Tiada Tandingan

Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani menjadi juara musim ketiga Akademi Fantasia dan gelaran “Raja SMS” yang diraihnya memang bukan calang-calang. Setiap kali keputusan undian diumumkan, nama Mawi sentiasa di atas dengan jurang yang jauh berbanding peserta lain. Sampai sekarang pun, belum ada peserta lain yang berjaya memecahkan rekod undian setinggi tu.

Yang membuatkan keadaan lagi gila, fenomena yang dipanggil “Mawi World” atau “TsuMawi” ni sampai membuatkan Mawi terkejut sendiri. Bila balik kampung di Kulai, Johor selepas menang, Mawi berkata bahawa dalam masa yang sama juga, ada ratusan ribu orang sudah berkumpul di kampungnya. Polis pun kena turun untuk mengiringi beliau pulang ke rumah keluarganya kerana jalan kesesakan lalu lintas teruk.

Bila Lagu Dia Berkumandang Di Mana-Mana

Lagu Aduh Saliha yang Mawi nyanyikan menjadi lagu yang dimainkan di mana-mana, dari kedai mamak sampai ke corong radio. Gaya rambut dia pun jadi ikutan ramai budak lelaki ketika tu. Pergi kedai gunting rambut, cukup sebut “macam Mawi” tukang gunting pun terus faham apa yang dimaksudkan.

Bagi yang bersekolah waktu tu, perbualan di kelas memang tak lari dari topik Mawi. Siapa undi untuk dia semalam, berapa kali undi dan apa episod terbaru AF yang ditayangkan malam tadi. Ada juga yang sanggup buat kerja rumah cepat-cepat semata-mata nak tonton slot diari AF tanpa terlepas.

Kenangan Tsumawi Yang Akan Terus Diingati

Sekarang, bila nama Mawi disebut, atau tiba-tiba terdengar lagu Aduh Saliha berkumandang, ramai yang terus teringat zaman kegemilangan Mawi. Bukan sekadar ingat lagu atau rancangan tapi ingat perasaan seluruh Malaysia yang seolah-olah bersatu untuk bercakap pasal benda yang sama pada masa yang sama.

Fenomena Mawi World bukan sekadar kisah seorang penyanyi menang rancangan realiti. Ia adalah zaman di mana satu nama mampu membuatkan seluruh negara rasa macam berada dalam perbualan yang sama, selama beberapa bulan yang tak akan dilupakan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.