Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Rugi Besar Hilang Autoriti Di Mata Anak, Ini 5 Tanda Jelas

Jika anak semakin susah mendengar kata, suka meninggikan suara dan tidak jujur, jangan pandang ringan tanda-tanda ini.
A mother and her teenage son are having a conversation outdoors. The son appears disinterested.

Setiap ibu bapa pasti mahu menjadi kawan kepada anak-anak.

Mahu anak selesa bercerita, tidak takut untuk berkongsi masalah dan membesar dalam suasana yang penuh kasih sayang.

Tetapi dalam usaha menjadi “kawan”, ada satu perkara yang tidak sepatutnya hilang.

Autoriti sebagai ibu dan ayah.

Kerana ibu bapa bukan sekadar teman untuk bergelak ketawa. Mereka juga adalah individu yang perlu dihormati, didengari dan dijadikan rujukan apabila anak berdepan dengan cabaran hidup.

Malangnya, ada sesetengah ibu bapa yang hanya menyedari mereka telah kehilangan autoriti apabila keadaan sudah menjadi semakin sukar dikawal.

Antara tanda yang paling jelas ialah:

1. Anak sudah tidak mahu mendengar kata

Apa sahaja yang dinasihatkan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Bukan sekali dua tetapi hampir setiap kali bercakap. Seolah-olah kata-kata ibu bapa sudah tidak lagi membawa sebarang makna kepada mereka.

2. Anak mula gemar melawan

Berlawan pendapat sekali-sekala itu perkara biasa. Anak yang sedang membesar memang akan mempunyai pandangan mereka sendiri.

Tetapi apabila setiap teguran dibalas dengan pertengkaran dan bantahan tanpa adab, itu petanda yang perlu diberi perhatian.

3. Anak mula meninggikan suara kepada ibu bapa

Kita bercakap dengan tenang tetapi mereka pula yang membalas dengan nada yang kasar dan keras. Lama-kelamaan, perbualan yang sepatutnya menjadi ruang untuk memahami antara satu sama lain bertukar menjadi medan pertelingkahan.

4. Anak tidak lagi jujur

Mereka menipu, menyembunyikan perkara tertentu atau menokok tambah cerita semata-mata untuk mendapatkan apa yang mereka mahu.

Kejujuran semakin hilang kerana mereka tidak lagi melihat ibu bapa sebagai individu yang perlu dihormati dan dipercayai.

5. Anak mula berkelakuan kasar terhadap ibu bapa

Ini mungkin tanda yang paling menyedihkan.

Bukan kerana sifat semula jadinya kasar dengan semua orang tetapi kerana mereka sudah tidak lagi menjaga adab ketika berhadapan dengan insan yang membesarkan mereka.

Hakikatnya, autoriti tidak datang daripada jeritan, ugutan atau hukuman semata-mata.

Autoriti lahir apabila kasih sayang berjalan seiring dengan ketegasan.

Anak tahu mereka disayangi tetapi dalam masa yang sama mereka juga tahu ada batas yang tidak boleh dilanggar.

Sebab itulah ibu bapa perlu menjaga autoriti mereka sejak anak masih kecil lagi.

Kerana apabila rasa hormat mula hilang, proses membinanya semula bukan sesuatu yang mudah.

Dan antara kerugian terbesar seorang ibu atau ayah bukanlah apabila anak tidak mendapat keputusan cemerlang di sekolah.

Tetapi apabila anak sudah tidak lagi mendengar, tidak lagi menghormati dan tidak lagi melihat ibu bapanya sebagai insan yang perlu dimuliakan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.