Dengar playlist penuh di sini
.

Apabila Jom Heboh datang ke bandar kita, sekolah pada esok hari telah menjadi pilihan nombor dua. Yang penting malam itu, dapat pergi ke lokasi Jom Heboh dianjurkan dan melihat serta berjumpa artis idola mereka secara dekat.
Masih ingat ataupun tidak perasaan apabila mendengar pengumuman Jom Heboh akan datang ke bandar atau negeri kita? Mesti terus rasa seperti ada sesuatu yang besar akan berlaku. Jom Heboh merupakan anjuran dibawah salah satu daripada saluran Media Prima iaitu TV3 dan adalah salah satu daripada karnival yang terbesar di Malaysia dan ramai rakyat Malaysia yang pergi ke karnival Jom Heboh ini bukan sebab ada apa-apa yang luar biasa sangat.
Tetapi kerana pada zaman itu, peluang untuk melihat artis kegemaran dari dekat memang tidak banyak pilihannya dan Jom Heboh adalah salah satu daripada peluang yang ada.
‘Jom Jom Jom Heboh Heboh’ itulah jingle yang memang sukar untuk dilupakan. Sekali dengar, terus terngiang-ngiang dalam kepala sampai beberapa hari. Dan apabila jingle itu muncul dalam TV, maknanya pengumuman Jom Heboh akan datang sudah semakin dekat. Kanak-kanak sekolah mula berbincang sama ada nak pergi atau tidak, manakala orang dewasa pula sudah merancang nak membawa anak-anak ke sana pada hujung minggu.
Sampai sahaja di tapak Jom Heboh, kaki memang susah hendak duduk diam. Mata terus melilau mencari reruai yang paling meriah dan paling ramai orang beratur.
Ada yang menjual pelbagai barangan, ada yang mengadakan permainan dan kuiz, manakala sesetengah reruai pula menawarkan hadiah percuma yang sentiasa menjadi rebutan pengunjung. Tidak kurang juga yang sanggup beratur panjang semata-mata untuk bergambar dengan maskot atau artis kegemaran.
Bagi kanak-kanak ketika itu, dapat bergambar dengan maskot kesukaan atau membawa pulang hadiah percuma sudah cukup membuatkan mereka rasa gembira sepanjang hari. Tangan penuh dengan beg plastik, kaki mula lenguh berjalan tetapi senyuman tetap tidak lekang sampai tiba di rumah.
Apabila malam menjelma, tumpuan mula beralih ke pentas utama.
Walaupun ada yang terpaksa berdiri jauh dari pentas, semangat mereka tetap sama. Sebaik sahaja artis kegemaran muncul dan lagu-lagu popular mula berkumandang, penonton terus bersorak dan menyanyi bersama.
Ada yang mengabadikan momen itu menggunakan kamera digital atau telefon bimbit yang serba sederhana pada zaman tersebut. Gambarnya mungkin tidaklah secantik rakaman telefon pintar hari ini tetapi semuanya tetap disimpan kerana itulah antara kenangan yang paling berharga.
Hari ini, apabila nama Jom Heboh disebut, ramai yang terus teringat suasana meriah yang pernah menghiasi hujung minggu mereka. Jingle ikoniknya, lautan manusia yang memenuhi padang dan sorakan penonton di hadapan pentas masih segar dalam ingatan.
Apa yang paling dirindui sebenarnya bukan sekadar konsert atau hadiah percuma tetapi perasaan yang hadir bersama semua itu. Ketika itu, kebahagiaan terasa begitu sederhana. Cukup dengan sebuah padang terbuka, persembahan artis kegemaran dan insan-insan tersayang di sisi, malam tersebut sudah cukup untuk menjadi antara kenangan paling manis yang sukar dilupakan.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.