Dengar playlist penuh di sini
.
Perimenopause dan menopause , dua perkataan yang masih buat ramai wanita Malaysia tidak mahu berkongsi pengalaman mereka dengan sesiapapun.
Kenapa? Sebab kita dibesarkan dalam budaya yang anggap benda-benda “perempuan” ni aib kalau dikongsi. Haid pun kita bisik-bisik. Inikan pula bab hormon, peluh malam, dan mood yang tiba-tiba berubah macam cuaca.
Tapi kebenaran ni perlu disuarakan, perimenopause boleh bermula seawal usia 40an. Bukan 50, bukan “bila dah tua.” Empat puluh tahun. Masa korang masih aktif kerja, masih ada anak kecil kat rumah, masih bersemangat nak achieve banyak benda dalam hidup. Di Malaysia, purata umur menopause secara semula jadi adalah sekitar 50 hingga 51 tahun, tapi fasa perimenopause boleh bermula beberapa tahun lebih awal, kerap kali pada awal hingga pertengahan 40an.
Perimenopause adalah fasa peralihan sebelum menopause,hormon mula turun naik, haid jadi tak menentu, tapi haid masih ada. Bermula dalam sekitar usia 30an hingga 40an, tahap hormon estrogen mula berubah, sekali gus menyebabkan kitaran haid menjadi lebih lama dari biasa atau lebih pendek, malahan kuantiti pendarahan mungkin menjadi lebih ringan atau semakin berat.
Dan simptomnya? Lagi menakutkan sebab ramai yang tak tahu ini semua ada kaitan dengan hormon. Hot flashes boleh buat korang berasa panas atau berpeluh di bahagian atas badan secara tiba-tiba tanpa sebab yang jelas. Ada yang susah tidur. Ada yang tiba-tiba mudah nangis atau marah tanpa sebab yang jelas. Ada yang rasa macam otak jadi “foggy” , susah fokus, lupa benda kecil, rasa tak tajam macam dulu.
Anda mungkin pergi jumpa doktor, cakap pasal simptom-simptom ni, dan doktor pun kadang tak terus kaitkan dengan hormon. Anda balik dengan ubat tidur atau ubat anxiety tapi punca sebenarnya tak disentuh langsung.
Yang lebih menyedihkan, kajian terbaru mendapati simptom menopause berbeza antara wanita Malaysia bergantung kepada gaya hidup, budaya dan kesihatan sel. Maknanya, pengalaman setiap wanita adalah berbeza, ada yang barely rasa apa-apa, ada yang tersangat teruk sampai jejaskan kualiti hidup setiap hari. Tapi sebab kita tak bercakap pasal ni, ramai yang tanggung sendiri dalam senyap, sangka diri sendiri “over” atau “emo.”
Ini tentang sains dan biologi, dan anda berhak tahu tentangnya.
Menopause bukanlah pengakhiran kepada kewanitaan, tapi satu peralihan biologi dan emosi yang boleh diurus dengan pemahaman dan sokongan yang betul. Ada rawatan, ada cara pengurusan, ada doktor pakar yang boleh bantu, tapi semua tu tak akan berlaku kalau kita terus anggap topik ni tabu untuk dibincangkan.
Mulakan perbualan ni dengan kawan, dengan anak perempuan, dengan ibu anda. Sebab satu hari nanti, kita semua akan sampai ke fasa ni. Dan adalah jauh lebih baik kalau kita sampai ke sana dengan ilmu, bukan dengan ketakutan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.