Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Simpanan Hari Tua Lesap Dalam Sekelip Mata Akibat Scam

Warga emas berusia 61 tahun di Pasir Gudang rugi RM250,000 selepas terpedaya skim pelaburan dalam talian.

Setiap kali ada berita warga emas kehilangan simpanan seumur hidup akibat scam, ramai anak-anak terus teringat ibu bapa sendiri. Lebih membimbangkan, angka terkini menunjukkan golongan warga emas memang antara yang paling kerap disasarkan.

Jenayah penipuan dalam talian di Malaysia meningkat mendadak dengan 66,204 kes direkodkan sepanjang 2025, membawa kerugian mencecah RM2.97 bilion.Baru-baru ini, seorang suri rumah warga emas berusia 61 tahun di Pasir Gudang rugi RM250,000 selepas terpedaya skim pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan sehingga 10 peratus sehari. Di Kedah pula,sebanyak 526 kes penipuan melibatkan warga emas direkodkan dari 2024 hingga April 2026, dengan kerugian melebihi RM36 juta.

Kenapa warga emas jadi sasaran utama? Penipu tahu golongan ini membesar tanpa literasi digital, ramai yang tinggal berseorangan tanpa tempat berunding sebelum buat keputusan kewangan, dan yang paling penting, mereka lebih mudah percaya.

Modus operandi paling lazim ialah “Macau scam”, penipu menelefon sambil menyamar sebagai pegawai polis, LHDN, atau Bank Negara, mendakwa mangsa terlibat kes jenayah atau tunggakan cukai. Mereka guna teknik “transfer panggilan” supaya mangsa yakin benar-benar bercakap dengan pegawai kerajaan, lalu diarah pindahkan wang ke “akaun selamat” yang sebenarnya milik penipu. Selain itu, skim pelaburan palsu yang janjikan pulangan lumayan dalam masa singkat turut jadi punca kerugian terbesar, diikuti love scam dan pinjaman tidak wujud.

Beberapa tanda yang patut buat sesiapa terus berhenti dan fikir dua kali, panggilan atau mesej yang mendesak keputusan segera, permintaan supaya rahsiakan perkara ini daripada ahli keluarga, tawaran pulangan pelaburan yang terlalu tinggi untuk dipercayai, dan permintaan pindahkan wang ke akaun peribadi walaupun pihak yang menelefon mendakwa mewakili jabatan kerajaan atau bank.

Kalau ibu bapa atau saudara terdekat pernah menerima panggilan sebegini, cara terbaik bukan memarahi mereka tapi ajar dengan pendekatan “saya pun hampir kena”, supaya mereka tak rasa malu untuk berkongsi dan bertanya sebelum buat sebarang transaksi. Galakkan mereka sentiasa sahkan dengan ahli keluarga dahulu sebelum pindahkan sebarang wang, walau sekecil mana pun jumlahnya.

Talian 997 adalah talian kecemasan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) yang beroperasi 24/7 di Malaysia. Jika anda baru sahaja menjadi mangsa scam dan wang anda lesap, hubungi 997 dengan segera. Panggilan pantas membolehkan pihak berkuasa membekukan akaun keldai dan menyekat aliran wang anda daripada dipindahkan.

Kongsikan artikel ni dengan ibu bapa atau saudara-mara yang mungkin tak sedar betapa canggihnya taktik scammer sekarangsikit je usaha berkongsi, tapi boleh selamatkan simpanan hari tua seseorang.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.