Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengretro_master

Ali Setan: Filem Yang Buat Ramai Kejar Impian Ke Uni

Bagi ramai remaja era 80-an dan 90-an, Ali Setan bukan sekadar filem cinta. Ia membuatkan kehidupan kampus menjadi impian yang ingin dikejar.

Azmil Mustapha, Ogy Ahmad Daud dan USM. Tiga nama yang tidak boleh dipisahkan daripada kenangan oleh mereka yang pernah menonton filem ini dan terus bermimpi tentang kehidupan kampus.

Ada filem yang kita tonton dan lupakan. Ada filem yang kita tonton dan telah tiba-tiba timbul keinginan untuk mengubah sesuatu dalam hidup kita. Ali Setan yang ditayangkan pada 1985 masuk dalam kategori kedua itu. Ramai yang mengakui bahawa selepas menonton filem itu, mereka mula bersungguh-sungguh dalam pelajaran kerana mahu merasai apa yang dialami oleh Ali dan Asmidar di kampus.

Kampus Yang Terasa Seperti Dunia Lain

Penggambaran di Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang menjadikan filem ini berbeza daripada mana-mana filem Melayu lain ketika itu. Setiap sudut kampus yang muncul di skrin, sama ada dewan kuliah, desasiswa, padang bola sepak mahupun pejabat dekan, semuanya memberi gambaran tentang kehidupan universiti yang ketika itu terasa sangat jauh bagi ramai remaja Malaysia yang belum pernah menjejakkan kaki ke menara gading.

Ali yang dilakonkan oleh Azmil Mustapha adalah pelajar senior yang nakal, yang tidak habis-habis mengusik Asmidar, siswi baharu yang dilakonkan oleh Ogy Ahmad Daud. Babak-babak usikan Ali kepada Asmidar, termasuk hadiah hari jadi berisi katak yang masih diingati ramai, menjadi antara babak paling ikonik dalam sejarah filem Malaysia.

Tipah Dan Drama Yang Tidak Diduga

Kemudian ada Tipah, sepupu Ali yang dilakonkan oleh Sheila Majid dalam penampilan pertamanya di layar perak. Watak Tipah yang mendakwa dinodai oleh Ali menjadi titik dramatik yang mengubah keseluruhan nada filem, daripada komedi ringan kepada sesuatu yang lebih berat dan emosional. Dialog-dialog berkaitan Tipah masih disebut dan ditertawakan dalam perbualan tentang filem ini sehingga sekarang.

Azmil Mustapha dan Ogy Ahmad Daud sama-sama memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik di Festival Film Malaysia ke-6 pada 1986, sebuah pengiktirafan yang membuktikan bahawa keserasian antara mereka di skrin bukan sekadar nasib yang baik.

Impak Ali Setan Yang Masih Terasa Kepada Anak Remaja

Ogy sendiri pernah berkongsi bahawa ramai peminat memberitahunya bahawa filem itu menjadi pendorong mereka untuk belajar bersungguh-sungguh demi untuk memasuki universiti. Ada yang sengaja memilih USM semata-mata kerana filem itu dirakam di sana, mahu merasai pengalaman berjalan di tempat yang sama dengan Ali dan Asmidar.

Apabila nama Ali Setan disebut hari ini, akan mula membuatkan kita mengingatinya adalah perasaan tentang zaman muda yang penuh impian, tentang kehidupan kampus yang terasa seperti satu dunia yang bebas dan penuh kemungkinan serta dua watak yang membuktikan bahawa daripada benci boleh lahir cinta yang paling tulen.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.