Dengar playlist penuh di sini
.
Sejak akhir akhir ini, satu fenomena semakin kerap dilihat di media sosial, khususnya semasa sesi siaran langsung di TikTok, apabila seorang influencer wanita dilihat melayan jenaka jenaka yang pada mulanya kelihatan sekadar hiburan ringan daripada penonton lelaki, termasuk mereka yang telah berkahwin. Apa yang bermula sebagai gurauan santai perlahan-lahan berkembang menjadi satu trend, di mana ramai lelaki lain turut tergerak untuk melakukan perkara sama demi mengikut arus atau kita gelar fomo atau riding the content, sehingga lawak-lawak berbaur mengorat mula dianggap sebagai hiburan biasa tanpa banyak dipersoalkan lagi kesannya.
Perkara sebegini mungkin dilihat sebagai hiburan semata-mata, sekadar suasana santai dalam ruang siaran langsung yang memang bertujuan untuk menghiburkan penonton. Namun apabila diperhati dengan lebih teliti, trend ini sebenarnya membawa persoalan lebih dalam mengenai bagaimana sesebuah tingkah laku yang sepatutnya tidak sesuai boleh dinormalisasikan secara perlahan lahan hanya kerana ia berlaku dalam ruang hiburan digital yang dianggap tidak serius.
Isu pertama yang perlu direnungi ialah mengenai maruah dan martabat seseorang wanita itu sendiri. Apabila seseorang influencer wanita terus melayan gurauan mengorat daripada lelaki yang sudah berkahwin tanpa sebarang teguran atau sekatan, ia secara tidak langsung menghantar mesej bahawa tingkah laku sebegini boleh diterima, walhal ia sebenarnya melibatkan batasan hubungan antara lelaki dan wanita yang sepatutnya dijaga, lebih lebih lagi apabila pihak lelaki tersebut telah mempunyai tanggungjawab kepada seorang isteri di rumah.
Isu kedua pula melibatkan sikap lelaki yang berkahwin itu sendiri. Fenomena mengikut trend semata mata kerana takut ketinggalan atau ingin turut sama menjadi tarikan perhatian di ruang siaran langsung menunjukkan kurangnya kesedaran tentang kesan tindakan tersebut terhadap institusi perkahwinan mereka sendiri. Walaupun mungkin dilihat sebagai gurauan semata mata tanpa niat serius, tindakan seperti ini tetap boleh melukakan perasaan isteri di rumah, malah turut mencerminkan kurangnya penghormatan terhadap hubungan perkahwinan yang sepatutnya dijaga rapi, bukan dijadikan bahan lawak untuk tontonan ramai.
Lebih membimbangkan, apabila tingkah laku sebegini semakin kerap dipaparkan dan mendapat sambutan ramai penonton, ia berisiko mencipta kesan normalisasi dalam kalangan generasi muda yang turut menyaksikan trend tersebut. Golongan muda yang membesar menyaksikan tingkah laku seumpama ini dianggap normal dan lucu, berisiko membentuk persepsi keliru mengenai batasan hormat menghormati dalam hubungan sosial antara lelaki dan wanita, malah turut boleh mempengaruhi cara mereka memandang institusi perkahwinan pada masa hadapan.
Persoalan turut timbul mengenai tanggungjawab platform media sosial dan budaya kandungan viral itu sendiri, di mana sesuatu tingkah laku yang sepatutnya dipandang serong kini boleh bertukar menjadi trend popular hanya kerana ia mengundang tontonan tinggi dan reaksi ramai. Algoritma yang cenderung mengutamakan kandungan kontroversi turut secara tidak langsung menggalakkan lebih ramai pengguna mengikut jejak yang sama demi mendapat perhatian, tanpa mengambil kira kesan sebenar tindakan tersebut kepada nilai kekeluargaan dan penghormatan sesama insan.
Isu ini bukan sekadar soal seorang individu atau satu trend semata mata, tetapi mencerminkan persoalan lebih besar mengenai sejauh mana masyarakat kini sanggup mengorbankan nilai maruah, kejujuran dalam perkahwinan, dan penghormatan sesama insan demi sekadar hiburan ringkas dan tontonan viral. Menjaga maruah, sama ada sebagai wanita, sebagai suami, atau sebagai ahli masyarakat secara umum, sepatutnya kekal menjadi keutamaan yang tidak boleh dikompromi walau dalam bentuk apa sekalipun, termasuk dalam ruang digital yang kelihatan santai dan tidak berbahaya pada pandangan luar.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.