Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Ibu Ayah Hilang Harap, Serah Anak Remaja Kepada JKM

Tiada ibu bapa sanggup berpisah dengan anak. Namun apabila segala usaha gagal, meminta bantuan JKM mungkin menjadi tanda kasih, bukan menyerah.

Tidak ada ibu atau ayah yang membayangkan satu hari nanti mereka perlu meminta bantuan pihak luar untuk mengurus anak sendiri.

Anak yang dahulu mereka dukung, peluk dan lindungi sejak kecil, tiba-tiba menjadi seseorang yang sukar mereka dekati.

Apabila melibatkan anak remaja, cabarannya kadangkala jauh lebih kompleks daripada yang dilihat oleh orang luar.

Ada ibu bapa yang bertahun-tahun cuba memujuk. Ada yang sudah berulang kali memberi nasihat, mencari jalan terbaik dan cuba memahami perubahan anak mereka.

Tetapi apabila setiap usaha menemui jalan buntu, mereka mula bertanya kepada diri sendiri..apakah yang perlu dilakukan sebelum keadaan menjadi lebih buruk?

Dalam sesetengah keadaan, ibu bapa memilih untuk mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bukan kerana mereka sudah tidak menyayangi anak.

Sebaliknya, mereka mungkin berada di tahap paling sukar apabila merasakan diri mereka tidak lagi mampu membantu anak dengan cara yang terbaik.

Apa yang paling merisaukan bukan sekadar tingkah laku anak yang berubah.

Tetapi ketakutan melihat anak semakin jauh, semakin keras hati dan semakin banyak melakukan perkara yang boleh menjejaskan dirinya sendiri.

Bagi sesetengah ibu bapa, mereka bukan takut kehilangan anak buat sementara waktu.

Mereka lebih takut bila anak terus-terusan mengumpul dosa akibat semakin banyak melawan, mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati atau hilang rasa hormat terhadap ibu bapa. Dalam erti kata lain, kederhakaan anak semakin tidak dapat dibendung.

Seorang ibu atau ayah mungkin mampu menanggung kesedihan tetapi mereka tidak sanggup melihat anak yang mereka sayangi membawa beban kesalahan yang berpanjangan.

Hakikatnya, apabila ada ibu bapa yang mengambil keputusan merujuk anak kepada JKM, tujuan mereka bukan untuk melepaskan tanggungjawab. Sebaliknya, mereka berharap anak dapat dibimbing melalui kaunseling, pemulihan akhlak dan bimbingan remaja dalam suasana yang lebih kondusif.

Dalam sesetengah keadaan, penempatan sementara dilihat sebagai ruang untuk anak menjauhkan diri daripada pengaruh negatif, memperbaiki disiplin serta membina semula hubungan dengan keluarga.

Keputusan tentunya bukan dibuat dalam sehari. Lazimnya, ia hadir selepas pelbagai usaha dilakukan di rumah tetapi tidak lagi membuahkan hasil.

Bagi ibu bapa, melihat anak terus hanyut, semakin melawan dan mengumpul dosa akibat perbuatannya sendiri jauh lebih menyakitkan daripada membuat keputusan yang amat berat ini.

Anak tetap anak.

Walau sejauh mana mereka tersasar, doa ibu bapa biasanya tidak pernah berhenti.

Kadangkala, kasih sayang bukan hanya tentang memeluk anak ketika semuanya baik-baik saja tetapi berani mencari pertolongan sebelum mereka terus hanyut dan menyesal apabila semuanya sudah terlambat.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.