Dengar playlist penuh di sini
.

Apabila seorang suami mula mengelakkan hubungan intim dengan isteri, ramai yang akan terus membuat satu kesimpulan .. dia sudah tidak mencintai isterinya atau sedang berlaku curang.
Menurut pakar kesihatan dan kaunselor perkahwinan, kehilangan keinginan seksual dalam kalangan lelaki tidak semestinya berkait dengan orang ketiga. Malah terdapat pelbagai faktor lain yang boleh menyebabkan seorang suami mula menjauh di bilik tidur.
Tekanan Kerja Dan Masalah Kewangan
Tekanan di tempat kerja, beban hutang, kos sara hidup yang semakin meningkat atau tanggungjawab sebagai ketua keluarga boleh memberi kesan kepada kesihatan mental seseorang lelaki.
Apabila minda sentiasa dibelenggu kebimbangan, tubuh menghasilkan lebih banyak hormon stres seperti kortisol. Keadaan ini boleh mengurangkan libido dan menyebabkan hubungan intim bukan lagi menjadi keutamaan.
Ada suami yang masih menyayangi isterinya tetapi terlalu penat secara mental untuk menunjukkan keinginan tersebut.
Letih Fizikal
Tidak semua lelaki mempunyai tenaga yang sama setiap hari.
Mereka yang bekerja syif, melakukan kerja berat atau sering kurang tidur mungkin mengalami keletihan melampau. Apabila badan terlalu letih, keinginan seksual juga boleh menurun.
Masalah Kesihatan Yang Tak Disedari
Beberapa penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan obesiti boleh menjejaskan fungsi seksual lelaki.
Selain itu, paras hormon testosteron yang rendah juga boleh menyebabkan penurunan keinginan seksual, kurang tenaga dan perubahan emosi.
Dalam sesetengah keadaan, ubat-ubatan tertentu seperti ubat tekanan darah atau antidepresan turut mempunyai kesan sampingan yang mempengaruhi libido.
Takut Kecewakan Pasangan
Tidak semua lelaki berani bercakap tentang masalah seksual.
Ada yang pernah mengalami disfungsi ereksi atau ejakulasi pramatang. Pengalaman tersebut boleh menyebabkan mereka hilang keyakinan dan mula mengelakkan hubungan intim kerana takut perkara sama berulang.
Hubungan Emosi Yang Semakin Jauh
Pertengkaran yang berlarutan, rasa tidak dihargai, komunikasi yang semakin renggang atau konflik yang tidak pernah diselesaikan boleh menyebabkan keinginan untuk bersama pasangan semakin berkurangan.
Bagi sesetengah lelaki, sukar untuk berasa dekat secara fizikal apabila hati masih dipenuhi rasa kecewa atau marah.
Murung Dan Bimbang
Lelaki yang mengalami kemurungan, keresahan (anxiety) atau tekanan emosi sering kehilangan minat terhadap aktiviti yang sebelum ini memberi kegembiraan, termasuk hubungan intim.
Oleh sebab kesihatan mental lelaki masih dianggap sebagai isu sensitif dalam masyarakat, ramai memilih untuk memendam perasaan sehingga pasangan sendiri tidak menyedari apa yang sedang mereka lalui.
Ketagihan Pornografi
Walaupun tidak berlaku kepada semua lelaki, ketagihan pornografi boleh memberi kesan terhadap hubungan suami isteri.
Pendedahan berterusan kepada kandungan seksual di alam maya boleh mengubah jangkaan seseorang terhadap hubungan intim sebenar. Dalam sesetengah kes, individu menjadi lebih bergantung kepada rangsangan digital sehingga hubungan bersama pasangan terasa kurang memuaskan.
Jangan Terus Tuduh Curang
Hakikatnya, ada juga kes di mana seorang suami menjauh kerana wujudnya orang ketiga. Namun menjadikan kecurangan sebagai satu-satunya penjelasan boleh menyebabkan pasangan terlepas pandang masalah sebenar yang sedang dihadapi.
Sebelum membuat tuduhan, cuba wujudkan ruang untuk berbincang secara terbuka. Tanyakan apa yang sedang dilaluinya tanpa menghukum atau menyindir. Kadangkala, satu perbualan yang jujur mampu membuka jalan kepada penyelesaian yang tidak pernah disangka.
Jika perubahan tersebut berlarutan atau menjejaskan keharmonian rumah tangga, pasangan juga boleh mendapatkan bantuan daripada doktor, pakar urologi, pakar psikiatri, ahli psikologi klinikal atau kaunselor perkahwinan mengikut punca yang dikenal pasti.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.