Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Croissant Bulu Rambut Menyerupai Kemaluan, Sanggup Makan?

Dari sudut hukum Islam, isu sebegini bukan sekadar soal halal atau haram bahan makanan semata-mata, tetapi turut melibatkan konsep thayyib.

Baru-baru ini media sosial dihebohkan dengan trend makanan bernama Croissant Pattaya atau lebih dikenali sebagai croissant bulu, inovasi pastri dari Thailand yang mula viral kerana penampilannya yang agak unik. Pastri ini menggunakan helaian nipis berwarna hitam di atas croissant yang menyerupai rambut, sehingga ramai netizen mengaitkannya dengan bulu kemaluan. Trend ini kemudiannya merebak ke Indonesia, dan kini mula dilihat di Malaysia, malah ada penjual pastri yang lebih jauh mencipta bentuk croissant atau kek menyerupai organ intim wanita lengkap dengan hiasan “bulu” hitam serta lelehan keju yang menambahkan lagi kesan lucah pada penampilan makanan berkenaan.

Bahan yang digunakan untuk menghasilkan kesan rambut tersebut sebenarnya bukan rambut sebenar, tetapi serat gula nipis seperti gula-gula kapas, atau fat choy, sejenis lumut hitam yang lazim digunakan dalam masakan Cina. Walaupun dari segi bahan ia mungkin selamat dimakan, isu sebenar bukan terletak pada kandungan makanan, tetapi pada bentuk visual dan cara persembahan yang dianggap tidak sopan serta menjurus kepada unsur lucah.

Dari sudut hukum Islam, isu sebegini bukan sekadar soal halal atau haram bahan makanan semata-mata, tetapi turut melibatkan konsep thayyib, iaitu kesesuaian dari segi nama, bentuk, dan cara persembahan makanan itu sendiri. Status halal sesuatu produk bukan sahaja ditentukan oleh bahan asas dan proses penyediaan, tetapi turut merangkumi kepatutan dari segi bentuk, kemasan, dan nama produk mengikut adat, tradisi, moral, serta ajaran agama.

Ulama turut menegaskan bahawa makanan berbentuk sedemikian membawa konotasi negatif dan lucah kerana tampilan visualnya menyerupai sesuatu yang erotik atau berunsur lucah, malah dilihat melanggar prinsip kehormatan kerana bentuknya menghampiri simbol kemaksiatan yang tidak selari dengan norma agama.

Fenomena makanan berbentuk lucah seperti ini turut dibimbangi boleh menyumbang kepada normalisasi simbol-simbol ketidaksopanan dalam masyarakat. Sekiranya terus dihasilkan dan dipromosikan tanpa sekatan, dikhuatiri ia boleh menjejaskan kepekaan masyarakat terhadap nilai kesusilaan yang sepatutnya dijaga.

Bagi konteks Malaysia, walaupun belum ada fatwa khusus dikeluarkan berkaitan trend croissant bulu ini, prinsip umum dalam Islam tetap terpakai, iaitu setiap produk makanan perlu memenuhi ciri halal dari segi bahan, dan juga thayyib dari segi kesopanan bentuk serta persembahan. Makanan yang sengaja dibentuk menyerupai aurat atau organ sulit tubuh badan manusia, apatah lagi dengan niat untuk menarik perhatian atau bergurau secara berunsur lucah, boleh membawa kepada dosa kerana ia menormalisasikan sesuatu yang sepatutnya dijaga kesuciannya dalam ajaran Islam.

Sebagai orang Islam, elok kita mengelakkan diri daripada terlibat sama ada membeli, menjual, atau mempromosikan makanan sebegini, walaupun ia dilihat sekadar trend hiburan semata-mata. Islam amat menitikberatkan soal adab dan kesopanan, termasuk dalam perkara sekecil pemilihan makanan yang kita ambil dan sebarkan di media sosial.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.