Dengar playlist penuh di sini
.

Bila seseorang yang kita kenal tiba-tiba nampak jauh lebih kurus, soalan pertama yang kadang-kadang muncul bukan lagi, “Wah, makin sihat nampak!”
Sebaliknya…
“Dia buat bariatrik ke?”
Atau,
“Cucuk kurus kot?”
Lebih menarik, ada yang boleh yakin meneka hanya berdasarkan rupa seseorang.
Betul ke sekali pandang kita boleh tahu?
Jawapannya, hellooo tidak semudah itu ya.
Perubahan berat badan boleh berlaku atas banyak sebab. Ada yang mengubah pemakanan, mula bersenam, mengambil rawatan tertentu, menggunakan ubat yang dipreskripsi doktor atau menjalani prosedur seperti pembedahan bariatrik.
Tetapi rupa seseorang semata-mata tidak boleh mengesahkan apa yang sebenarnya dilakukan.
Bentuk badan, jumlah berat yang turun atau perubahan pada wajah bukanlah “bukti” seseorang mengambil suntikan penurunan berat badan atau menjalani bariatrik.
Jadi kalau kita nampak seseorang berubah daripada berisi kepada lebih kurus, mungkin elok kita berhenti sekejap sebelum bertanya soalan yang sebenarnya bukan urusan kita.
Sebab kita tidak tahu apa yang berlaku di sebalik perubahan itu.
Mungkin dia sedang berusaha menjaga kesihatan.
Mungkin doktor mencadangkan rawatan tertentu.
Mungkin dia sudah bertahun-tahun mencuba pelbagai cara.
Atau mungkin dia memang memilih jalan yang sesuai dengan keadaan dan kemampuan dirinya.
Dan kalau betul pun dia memilih bariatrik atau rawatan untuk membantu menurunkan berat badan?
So what?!
Duit dia.
Tubuh dia.
Pilihan dia.
Bukan duit kita yang keluar.
Bukan tubuh kita yang menanggung.
Yang penting, apa-apa rawatan dibuat dengan penilaian dan pemantauan profesional kesihatan, bukannya ikut trend atau beli sesuatu secara sembarangan.
Kita tak perlu setuju dengan pilihan orang lain untuk menghormatinya.
Kadang-kadang, seseorang yang akhirnya berjaya menurunkan berat badan tidak perlukan kita menjadi detektif yang cuba mencari rahsia di sebalik tubuhnya.
Dia mungkin cuma perlukan satu ayat mudah:
“Nampak makin sihat. Baguslah, semoga terus dipermudahkan.”
Sebab tubuh orang lain bukan teka-teki untuk kita selesaikan.
Orang berubah secara fizikal bukan bermakna kita automatik dapat lesen untuk menyelongkar apa yang berlaku pada tubuhnya.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.