Dengar playlist penuh di sini
.

Rambut makin banyak gugur.
Setiap kali mandi, tengok lantai bilik air pun dah mula rasa risau.
Lepas tu nampak iklan.
“Rambut gugur?”
“Rambut makin nipis?”
“Nak tumbuhkan rambut semula?”
Ada tonik. Ada syampu. Ada serum. Ada macam-macam produk yang menjanjikan rambut lebih lebat dan akar rambut lebih kuat.
Dengan lambakan produk sebegini, satu persoalan memang patut kita tanya:
Betul ke semua benda yang disapu pada kepala itu boleh merawat rambut yang semakin menipis?
Jawapan ringkasnya: tak semestinya.
Sebab ada satu perkara yang selalu kita terlepas pandang.
Rambut gugur bukan satu masalah yang mempunyai satu punca.
Ia boleh berlaku kerana faktor keturunan, perubahan hormon, keadaan kesihatan tertentu, tekanan, kekurangan nutrien, ubat-ubatan atau masalah pada kulit kepala.
Sebab itu, kalau rambut gugur berpunca daripada sesuatu yang berlaku di dalam badan, sekadar tukar syampu mungkin tak menyelesaikan masalah sebenar.
Malah, American Academy of Dermatology menjelaskan bahawa syampu yang dipasarkan untuk rambut gugur biasanya membantu rambut mengekalkan kelembapan, kelihatan lebih penuh atau mengurangkan rambut patah.
Tetapi ia tidak boleh menumbuhkan semula rambut atau menghentikan keguguran daripada menjadi semakin teruk.
Haa, yang ini ramai mungkin baru tahu.
Jadi bila selepas menggunakan sesuatu syampu rambut nampak lebih “gebu”, jangan terus anggap folikel rambut yang sudah hilang sedang tumbuh semula.
Nampak lebih tebal tidak semestinya bermaksud rambut baru sedang tumbuh.
Bagaimana pula dengan tonik?
Di sinilah kita kena lebih berhati-hati.
Bukan semua tonik mempunyai ramuan dan bukti keberkesanan yang sama. Ada produk yang sekadar membantu penjagaan kulit kepala atau keadaan rambut, manakala rawatan tertentu memang mempunyai bukti klinikal untuk jenis keguguran rambut tertentu.
Contohnya, minoxidil merupakan antara rawatan yang paling disyorkan untuk keguguran rambut corak tertentu, termasuk female pattern hair loss. Tetapi penggunaannya memerlukan kesabaran. Hasilnya bukan dalam seminggu dua dan ia perlu diteruskan untuk mengekalkan manfaat.
Jadi kalau rambut tiba-tiba gugur banyak, jangan terus buat eksperimen dengan lima produk serentak.
Cari puncanya dulu.
Sebab kalau kita tak tahu kenapa rambut gugur, kita mungkin hanya sibuk merawat rambut yang nampak di luar sedangkan masalah sebenar berada di akar.
Dan satu lagi perkara penting.
Kalau keguguran rambut berterusan, semakin ketara, berlaku dalam tompok atau disertai perubahan pada kulit kepala, elok dapatkan pemeriksaan doktor atau pakar dermatologi. Diagnosis awal penting kerana sesetengah jenis keguguran rambut lebih mudah dirawat apabila dikesan awal.
Jadi selepas ini, bila nampak botol dengan tulisan “Rambut Lebih Lebat Dalam 14 Hari!”, jangan terus masukkan dalam bakul.
Tengok bahan.
Tengok bukti.
Dan paling penting, tanya dulu kenapa rambut kita gugur.
Sebab rambut yang semakin nipis bukan semestinya perlukan syampu yang lebih mahal.
Kadang-kadang, ia perlukan jawapan yang lebih tepat.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.