Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Anak Muda Sekarang Tak Segan Sebar Aib Di Media Sosial

Generasi Alpha yang membesar dengan media sosial mungkin akan menganggap tiada lagi sempadan antara kehidupan peribadi dan kehidupan awam.

Dulu kalau ada masalah peribadi, kita cerita kepada seorang kawan baik. Kalau terlalu malu, simpan sendiri. Hari ini lain pula ceritanya. Ada anak muda yang boleh membuka cerita paling peribadi tentang diri sendiri di media sosial, lengkap dengan wajah, suara dan kehidupan harian, seolah-olah sedang duduk bersembang dengan kawan baik di dalam bilik. Bezanya, kali ini yang mendengar bukan seorang atau dua orang. Entah berapa ribu orang sedang menonton, dan yang lebih menakutkan, seseorang mungkin sedang merakamnya.

Kita boleh nampak bagaimana sesetengah anak muda begitu selamba bercakap tentang hal peribadi dalam live. Ada yang bercerita tentang hubungan cinta, pengalaman seksual, pergaduhan dengan pasangan, masalah keluarga dan macam-macam lagi perkara yang suatu ketika dahulu dianggap terlalu peribadi untuk dibincangkan dengan orang luar. Bukan soal mahu menghukum mereka atau mengatakan mereka tidak boleh bercakap tentang kehidupan sendiri. Masalahnya ialah mereka mungkin tidak sedar bahawa internet bukan ruang peribadi.

Bila kita bercakap dalam bilik, cerita itu mungkin berhenti di situ. Tetapi bila kita bercakap dalam live, kita sudah kehilangan kawalan terhadap siapa yang mendengar, siapa yang merakam dan ke mana rakaman itu akan pergi selepas itu. Video yang dibuat malam ini kerana mahu mendapatkan perhatian atau sekadar bergurau boleh muncul semula beberapa tahun kemudian ketika seseorang sudah bekerja, berkahwin atau mempunyai anak.

Lebih membimbangkan apabila perkara yang sangat peribadi mula dianggap sebagai kandungan untuk mendapatkan tontonan. Semakin sensitif ceritanya, semakin ramai yang mahu menonton. Akhirnya wujud satu budaya di mana aib sendiri menjadi content, dan perhatian daripada orang asing terasa seperti satu bentuk pengiktirafan.

Ini bukan sekadar masalah individu. Ia juga persoalan tentang bagaimana kita mendidik generasi yang membesar dengan kamera di tangan. UNICEF Malaysia sendiri mengingatkan bahawa setiap perkongsian dalam talian boleh membentuk jejak digital seseorang, dan sesuatu yang dimuat naik boleh disalin, dimuat turun atau dikongsi semula tanpa kawalan.

Bayangkan kalau budaya ini tidak dibendung. Generasi Alpha yang membesar dengan media sosial mungkin akan menganggap tiada lagi sempadan antara kehidupan peribadi dan kehidupan awam. Apa yang dahulu kita simpan sebagai rahsia keluarga, kini mungkin dianggap bahan untuk live. Apa yang dahulu hanya diketahui beberapa orang, kini boleh ditonton satu Malaysia.

Sebab itu pendidikan digital bukan sekadar mengajar anak cara menggunakan telefon. Mereka perlu diajar bila perlu diam, apa yang tidak perlu dikongsi dan bahawa tidak semua perkara yang berlaku dalam hidup perlu dijadikan content.

Malaysia sendiri kini memperketatkan perlindungan kanak-kanak dalam talian melalui peraturan baharu, termasuk mekanisme pengesahan umur dan langkah keselamatan platform. Tetapi undang-undang sahaja tidak cukup. Ibu bapa, sekolah dan masyarakat juga perlu mengajar satu perkara yang sangat mudah tetapi semakin dilupakan, tak semua perkara perlu diketahui oleh dunia.

Sebab apabila sesuatu sudah masuk internet, kita tidak lagi boleh menentukan siapa yang melihatnya, siapa yang menyimpannya dan bila ia akan muncul semula.

Hari ini mungkin kita ketawa tengok live sendiri.

Sepuluh tahun lagi, belum tentu kita sanggup lihat orang lain menontonnya.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.