Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Kiss Mulut Anak, Boleh Dinormalisasikan Atau Tak Patut?

American Academy of Pediatrics menyatakan kanak-kanak boleh mendapat jangkitan ini selepas dicium oleh orang dewasa yang mempunyai cold sore.

Ada ibu bapa yang memang biasa mencium anak di mulut. Bagi mereka, itu cuma tanda kasih sayang. Anak kecil pun mungkin datang sendiri, minta dicium dan peluk. Jadi apabila ada orang menegur, “Tak eloklah cium mulut anak,” ibu bapa pula rasa pelik. Apa salahnya? Bukannya buat benda pelik pun, itu anak sendiri.

Sebenarnya, dari sudut kasih sayang, memang normal untuk ibu bapa mahu mencium dan memeluk anak. Tetapi apabila melibatkan mulut, ada satu perkara yang kita mungkin selalu terlepas pandang, air liur juga boleh menjadi laluan penyebaran jangkitan. Contohnya, virus herpes simplex jenis 1 atau HSV-1, yang menyebabkan cold sore, boleh merebak melalui air liur dan sentuhan rapat. American Academy of Pediatrics menyatakan kanak-kanak boleh mendapat jangkitan ini selepas dicium oleh orang dewasa yang mempunyai cold sore.

Lebih penting untuk bayi yang masih kecil. HSV boleh menjadi sangat berbahaya kepada bayi baru lahir. NHS sendiri menasihatkan supaya bayi tidak dicium berhampiran mulut, hidung atau mata, dan individu yang mempunyai cold sore tidak mencium bayi.

Jadi sebenarnya bukan soal “parents yang cium anak mulut ni pelik” atau “tak sayang anak”. Tidak semestinya begitu. Bagi ramai ibu bapa, itu memang sekadar cara menunjukkan kasih sayang. Tetapi kalau ada pilihan yang lebih selamat, kenapa tidak biasakan cium di pipi, dahi atau kepala?

Tambahan pula, kita tidak semestinya tahu bila seseorang sedang membawa virus atau jangkitan. Ada keadaan yang mungkin belum menunjukkan simptom yang jelas. Dan apabila melibatkan anak kecil, kita mungkin tidak mahu mengambil risiko yang sebenarnya boleh dielakkan.

Pada masa yang sama, kita juga tidak perlu terus menghukum ibu bapa yang mempunyai kebiasaan mencium anak di mulut. Tidak semua mereka tahu tentang risiko jangkitan melalui air liur, dan tidak semua situasi mempunyai tahap risiko yang sama. Yang penting ialah kesedaran.

Kasih sayang tidak berkurang hanya kerana kita menukar tempat ciuman.

Kalau boleh cium dahi, pipi atau kepala dengan penuh kasih sayang, mungkin itu pilihan yang lebih baik. Anak tetap rasa disayangi, ibu bapa tetap boleh menunjukkan kasih sayang dan kita pada masa yang sama mengurangkan risiko menyebarkan jangkitan tertentu.

Sebab kadang-kadang sebagai ibu bapa, kita bukan perlu berhenti menunjukkan kasih sayang.

Kita cuma perlu belajar cara menunjukkan kasih sayang dengan lebih selamat.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.