Dengar playlist penuh di sini
.

Kalau selalu tengok live selling, mesti pernah nampak satu momen yang buat kita sendiri senyum depan skrin.
Host tengah rancak bercakap.
“Okay, siapa yang nak ambil promo ni……………….”
Tiba-tiba senyap.
Mata terpejam.
Kepala terangguk.
Beberapa saat kemudian tersentak bangun.
Yang paling kelakar, reaksi selepas tersedar tu macam-macam.
Ada yang terus cover line, sambung bercakap seolah-olah tak ada apa berlaku. Ada yang tiba-tiba tergelak sendiri sebab mungkin dia pun sedar baru “hilang” sekejap. Ada yang terus blur, pandang skrin dengan muka macam sedang cuba ingat semula dia tengah cerita pasal apa.
Dan ada juga yang tersedar, diam dua tiga saat… kemudian sambung bercakap dengan penuh yakin walaupun ayat selepas itu langsung tak ada kaitan.
Penonton yang tengok pula memang susah nak tahan. Ada yang gelak, ada yang komen, malah ada yang ulang semula video sebab momen beberapa saat itu lebih menghiburkan daripada produk yang sedang dijual.
Sebenarnya, keadaan seperti ini boleh berlaku apabila seseorang mengalami microsleep. Episod tidur yang sangat singkat dan tidak disengajakan, biasanya apabila seseorang terlalu mengantuk atau kurang tidur.
Dalam live selling, ia nampak kelakar kerana berlaku depan kamera. Host pula mungkin sedang berusaha kekal bertenaga selepas berjam-jam bercakap, membaca komen, menjawab soalan dan mengulang promosi produk.
Tetapi otak ada hadnya.
Apabila badan terlalu penat dan mengantuk, otak boleh “terlelap” untuk beberapa saat walaupun seseorang itu sedang cuba kekal berjaga. Lebih mencabar, individu tersebut mungkin tidak sedar pun bahawa microsleep baru sahaja berlaku.
Walaupun nampak mencuit hati di skrin, microsleep sebenarnya tanda badan dan otak sudah terlalu letih. Kurang tidur, waktu kerja yang panjang dan rasa mengantuk berlebihan boleh meningkatkan risiko keadaan ini berlaku. Kalau kerap terjadi, jangan sekadar anggap diri terlalu penat. Badan mungkin sedang minta kita berhenti sekejap dan cukupkan rehat.
Sebab itu kalau seseorang kerap mengalami mata terpejam sendiri, kepala terangguk atau tiba-tiba hilang fokus, ia bukan sekadar isu mengantuk biasa yang boleh dipandang remeh.
Lebih-lebih lagi kalau keadaan sama berlaku ketika memandu, mengendalikan mesin atau melakukan kerja yang memerlukan perhatian penuh.
Jadi kalau nampak host live tiba-tiba terpadam sekejap, memanglah kelakar.
Terutama bila dia bangun dan cuba buat muka steady macam tiada apa-apa berlaku.
Tapi mungkin dalam kepala dia masa tu cuma ada satu benda:
“Aku tadi tengah jual apa eh?”
Kadang-kadang badan tak perlu bagi warning panjang.
Dia cuma tutup mata kita sekejap untuk beritahu:
“Dah…cukup. Pergi rehat sekarang”
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.